Rabu, 3 March 2021 | 9:16pm
Petugas PBT melakukan nyahcemar di Nabawan. - Gambar Jabatan Penerangan Sabah
Petugas PBT melakukan nyahcemar di Nabawan. - Gambar Jabatan Penerangan Sabah

Sabah benarkan rentas daerah - Masidi

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri bersetuju membenarkan rentas daerah mengikut zon yang ditetapkan selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), Jumaat ini.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Masidi Manjun, berkata keputusan terbabit dibuat pihaknya kerana ada banyak permintaan terutama dari sektor pelancongan yang sudah dibenarkan untuk beroperasi.

Katanya, orang ramai juga terpaksa merentas daerah untuk bekerja.

"Dengan mengambil kira sesetengah individu yang bekerja di daerah lain, kita mengubah suai sekatan ini dengan memasukkan daerah dalam kelompok tertentu.

"Dengan pembahagian zon ini, rakyat boleh merentas daerah tanpa melalui sekatan jalan raya dan penduduk hanya boleh bergerak merentas daerah dalam zon yang didiami sahaja.

"Bagaimanapun, Nabawan tidak tersenarai dalam mana-mana zon, berikutan daerah terbabit masih di bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media secara dalam talian mengenai perkembangan COVID-19 di Sabah, hari ini.

Masidi berkata, zon terbabit terbahagi kepada enam.

Katanya, bagi zon satu membabitkan daerah Kota Kinabalu, Kota Belud, Ranau, Tuaran, Penampang, Putatan dan Papar, manakala zon dua membabitkan daerah Beaufort, Kuala Penyu dan Sipitang.

Beliau berkata, zon tiga membabitkan daerah Kudat, Kota Marudu dan Pitas, manakala zon empat membabitkan darerah Sandakan, Beluran, Kinabatangan dan Tongod.

Katanya, zon lima membabitkan daerah Tawau, Semporna, Lahad Datu, Kunak dan Kalabakan, manakala zon enam membabitkan Keningau, Tambunan dan Tenom.

Berita Harian X