Rabu, 3 March 2021 | 5:41pm
Amirudin (kanan) melawat Smart Selangor Operations Centre di Bangunan Sultan Abdul Aziz, hari ini. - Foto BERNAMA
Amirudin (kanan) melawat Smart Selangor Operations Centre di Bangunan Sultan Abdul Aziz, hari ini. - Foto BERNAMA

Vaksin COVID-19: 2,047 daripada 68,677 penerima sudah disuntik

SHAH ALAM: Seramai 2,047 individu dari 68,677 penerima fasa pertama di negeri ini sudah menerima suntikan vaksin COVID-19, sehingga semalam.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata fasa pertama membabitkan petugas barisan hadapan di Selangor seperti petugas Kementerian Kesihatan (KKM), klinik dan hospital swasta, bukan kesihatan dan pemimpin utama negeri.

"Selangor kini di landasan tepat. Kita masih dalam proses, paling cepat akan selesai bulan ini. Tetapi kita mesti beri ruang sepenuhnya untuk selesaikan fasa pertama kerana kita ada kira-kira 36,000 petugas KKM iaitu hospital, klinik kesihatan dan sebagainya.

"Selain itu, ada kira-kira 14,000 dalam kalangan petugas kesihatan swasta, 17,000 petugas barisan hadapan bukan kesihatan seperti polis, tentera, pegawai daerah, Ahli Dewan Negeri dan sebagainya.

"Terdapat lapan hospital dan 30 klinik di negeri ini akan beroperasi bagi melaksanakan proses imunisasi dan vaksin fasa pertama ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke Smart Selangor C5i Centre, di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Nor Azmie Diron.

Khamis lalu, beliau mengumumkan Selangor menerima 78,000 dos vaksin jenis Pfizer-BioNtech bagi fasa pertama dan pada hari sama, beliau antara 42 invidvidu pertama di Selangor menerima dos pertama suntikan vaksin COVID-19 keluaran Pfizer-BioNTech.

Katanya, setakat ini beliau dan EXCO berada dalam keadaan sihat dan bergerak aktif tanpa gejala sakit.

Berita Harian X