Rabu, 3 March 2021 | 1:50pm
Hampir 50 penduduk di Jalan Ketapang 9, Taman Rinting, Pasir Gudang bimbang kerana isu tebing runtuh di hadapan perumahan mereka sejak empat bulan lalu. - Foto NSTP/Nurul Amanina Suhaini
Hampir 50 penduduk di Jalan Ketapang 9, Taman Rinting, Pasir Gudang bimbang kerana isu tebing runtuh di hadapan perumahan mereka sejak empat bulan lalu. - Foto NSTP/Nurul Amanina Suhaini

Penduduk bimbang tebing runtuh depan rumah

PASIR GUDANG: Hampir 50 penduduk di Jalan Ketapang 9, Taman Rinting, di sini bimbang kerana terpaksa berdepan isu tebing runtuh yang berlarutan sejak empat bulan lalu.

Difahamkan, masalah itu berpunca daripada saluran paip di longkang yang tersumbat di kawasan berkenaan sehingga menyebabkan tebing itu runtuh.

Penduduk, Mohamad Ashraf Md Jusof, 27, berkata lokasi tebing runtuh itu terletak di pintu masuk ke kawasan perumahan, selain hanya mempunyai penghadang jalan bagi mengelakkan penduduk menghampirinya.

"Risau anak yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Rinting 3, melintas jalan dari sana. Jika malam, walaupun ada lampu jalan, tetap risau dengan keselamatan diri," katanya ditemui hari ini.

Penyelia Pusat Aduan Pasir Gudang, Syed Othman Syed Abdullah, berkata pada Januari lalu, pihaknya ada menghubungi Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) berhubung isu itu.

Aduan turut diterima daripada penduduk setempat mengharapkan proses pembaikan dipercepatkan.

"Ini kejadian kali kedua, yang pertama pernah berlaku insiden seumpama iaitu 2019 pada jarak 100 meter dari lokasi kejadian. Tiada berlaku kemalangan, cuma runtuh sahaja," katanya.

Sementara itu, jurucakap MBJB ketika dihubungi memaklumkan tindakan sudah diambil oleh MBJB.

"Pihak kontraktor sudah dilantik dan akan masuk minggu ini di lokasi berkenaan," katanya.

Berita Harian X