Selasa, 2 March 2021 | 5:06pm

ECERDC sasar tarik pelaburan RM100 juta untuk Mersing

ISKANDAR PUTERI: Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) menyasarkan untuk menarik pelaburan komited bernilai RM100 juta dalam bidang pelancongan dan perniagaan tani.

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Baidzawi Che Mat, berkata usaha itu sejajar dengan fokus Rancangan Tempatan Daerah Mersing 2030.

Sehubungan itu, katanya, ECERDC dan kerajaan Johor akan menumpukan kepada pelaksanaan projek pembangunan strategik di Mersing, terutama dalam sektor pelancongan dan pertanian bagi memperkasakan ekonomi dan membasmi kemiskinan di daerah itu.

Beliau berkata, keutamaan di Mersing adalah untuk memperkasakan ekonomi tempatan dengan menyediakan asas untuk pembangunan sosioekonomi yang berterusan.

"Khazanah alam semula jadi di daerah ini akan dimanfaatkan bagi mewujudkan peluang baharu dalam sektor pelancongan dan perniagaan tani untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat.

"ECERDC mengutamakan pembangunan modal insan di Mersing untuk membantu rakyat menyesuaikan diri dan bertahan dalam realiti ekonomi baharu yang dibawa oleh pandemik COVID-19," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, satu mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan ECER (ICC) Johor diadakan hari ini dengan dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad.

Baidzawi berkata, Mersing mencatatkan kadar kemiskinan tertinggi di Johor pada kadar 7.1 peratus.

"Semakan semula Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) negeri baru-baru ini dari RM923 kepada RM2,505 untuk Johor pada tahun 2019 dijangka meningkatkan jumlah isi rumah yang hidup di bawah garis kemiskinan daripada 210 kepada 1,215 di Mersing.

"Oleh itu, ECERDC juga sedang membangunkan usahawan melalui program empower ECER bagi membantu meningkatkan pendapatan penduduk Mersing," katanya.

Beliau berkata, seramai 164 usahawan baharu berjaya diwujudkan dan dilatih dengan kemahiran seperti simpan kira dan digitalisasi.

Baidzawi berkata, bagi merancakkan industri pelancongan di Mersing, ECERDC akan terus melaksanakan pelbagai projek infrastruktur strategik di bawah strategi pembangunan 'Dari Hutan Hujan ke Terumbu Karang' atau 'Rainforest to Reef' (R2R) di bawah Pelan Induk ECER 2.0 (EMP 2.0).

Katanya, antara projek yang sedang dilaksanakan adalah Pusat Informasi dan Perkhidmatan Taman Laut Sultan Iskandar (PIPTLSI) yang dijangka siap pada akhir Jun tahun ini.

"PIPTLSI akan menjadi pusat maklumat sehenti bagi pelancong yang ingin ke pulau-pulau di sekitar Mersing dan turut berfungsi sebagai 'Pusat Transformasi Luar Bandar' untuk memenuhi keperluan rakyat setempat.

"Sebuah lagi projek menarik adalah projek Inap Desa di Air Papan, Mersing," katanya.

Beliau berkata, produk pelancongan berasaskan komuniti ini membabitkan pembinaan chalet bertemakan resort yang bertujuan mentransformasi konsep inap desa tradisional.

"Projek ini yang dijangka siap pada Mac 2022 akan membolehkan masyarakat setempat memperoleh pendapatan melalui koperasi yang akan diwujudkan untuk mengurus kemudahan Kampungstay, serta daripada pewujudan peluang pekerjaan dan keusahawanan berkaitan pelancongan," katanya.

Berita Harian X