Selasa, 2 March 2021 | 3:14pm
Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan (kiri) menyampaikan cek pampasan tanah kepada seorang daripada 18 penerima di Lawas. - Foto ihsan Pejabat Timbalan Ketua Menteri
Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan (kiri) menyampaikan cek pampasan tanah kepada seorang daripada 18 penerima di Lawas. - Foto ihsan Pejabat Timbalan Ketua Menteri

Bantu penduduk luar bandar daftar vaksin - Awang Tengah

LAWAS: Jabatan kerajaan dan ketua masyarakat perlu memikul tanggungjawab untuk memastikan penduduk di kawasan luar bandar menerima vaksin COVID-19.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata peluang mendapatkan vaksin untuk mengurangkan risiko wabak itu tidak harus dilepaskan kerana kos ditanggung kerajaan.

"Janganlah takut untuk mengambil vaksin kerana ia akan meningkatkan imunisasi, sekali gus mampu menjaga diri kita, keluarga dan semua yang ada di sekeliling.

"Anda boleh mendaftar untuk mendapatkan vaksin itu melalui aplikasi MySejahtera dan juga secara manual, sebab itu semua jabatan kerajaan, ketua kampung dan ketua masyarakat harus memastikan semua penduduk mendaftar segera," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian Lesen Pendudukan Sementara (TOL) dan Cek Pampasan Tanah serta perasmian pejabat Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Limbang, Cawangan Lawas di sini, hari ini.

Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli II; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak berkata, beliau sudah menerima suntikan vaksin itu di Kuching.

Beliau berkata petugas barisan hadapan di Limbang dan Lawas akan menerimanya pada 6 dan 7 Mac ini.

Pada majlis itu, Awang Tengah menyampaikan cek pampasan berjumlah RM686,225 untuk diagihkan kepada 18 pemilik tanah yang terbabit dalam pembinaan jalan raya dari Kampung Punang ke Sungai Bangat.

"Kita gunakan tanah itu untuk melaksanakan projek kemudahan awam seperti jalan raya.

"Selain tanah, tanaman penduduk yang ditebang untuk memberi laluan kepada projek itu juga diberi pampasan berdasarkan kepada kadar baharu pada masa ini," katanya.

Berita Harian X