Selasa, 2 March 2021 | 1:24pm
 - Foto hiasan
- Foto hiasan

Cuaca panas berlarutan di Sarawak

KUCHING: Cuaca panas dijangka berterusan di hampir seluruh negeri ini esok meliputi Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Kapit, Bintulu, Miri dan Limbang.

Bagaimanapun, mengikut portal Jabatan Alam Sekitar (JAS), cuaca panas dijangka sedikit reda pada pagi Khamis dengan hujan diramal di satu dua tempat di Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu dan Mukah.

Ribut petir diramal berlaku pada tengah hari Khamis di satu dua tempat di Sri Aman, Sibu, Kapit, Bintulu, Miri dan Limbang pada tengah hari, manakala Kuching, Serian, Samarahan, Betong, Sarikei dan Mukah pula dijangka berlaku hujan.

Cuaca panas berlarutan di kawasan Kuching sejak minggu lalu, selepas hujan lebat melanda sehingga menyebabkan banjir pada Jumaat lalu.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak kini bersiap sedia menghadapi kebakaran hutan dan semak susulan cuaca panas melampau di beberapa kawasan di negeri ini.

Pengarahnya, Khirudin Drahman berkata, menara tinjau mula dibuka dan kawalan masuk kawasan hutan yang mudah terbakar turut dipertingkatkan.

Beliau berkata, peralihan Monsun Timur Laut berlaku pada akhir Februari lalu manakala permulaan musim panas sepanjang Mac hingga awal Mei.

"Cuaca panas dan angin dari laut pada siang hari dan keadaan kering akan menyebabkan kawasan semak-samun kering dan mudah terbakar.

"Bagaimanapun, perkara ini perlu dipantau oleh pihak berkuasa tempatan, syarikat ladang besar dan individu yang mula bercucuk tanam," katanya.

Berita Harian X