Isnin, 1 March 2021 | 1:16pm
Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid ketika menerima suntikan vaksin COVID-19 di Majlis Daerah Padang Terap di sini, hari ini. NSTP/Noorazura Abdul Rahman
Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid ketika menerima suntikan vaksin COVID-19 di Majlis Daerah Padang Terap di sini, hari ini. NSTP/Noorazura Abdul Rahman

Kerajaan digesa percepat pengambilan tanah untuk bekalkan elektrik bagi projek KRC

PADANG TERAP: Kerajaan diminta mempercepatkan proses pengambilan tanah bagi tujuan menyediakan kemudahan bekalan elektrik dan air untuk pembangunan projek Kedah Rubber City (KRC) di daerah ini.

Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata projek infrastruktur bagi projek KRC ketika ini sedang berjalan namun kerja-kerja untuk menyalurkan kemudahan elekrtik dan air masih tertangguh sejak pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

"Infrastruktur KRC adalah di bawah kelolaan kerajaan negeri dan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), cuma kita sekarang masih kekurangan kemudahan bekalan elektrik dan loji bekalan air di Padang Sanai.

"Jadi, saya sebagai ahli parlimen berharap kerajaan negeri dan NCER dapat mempercepatkan kelulusan untuk pengambilan tanah atau laluan bekalan elektrik dan loji bekalan air," katanya.

Mahdzir ditemui selepas menerima suntikan vaksin COVID-19 di Majlis Daerah Padang Terap di sini, hari ini.

Turut menerima suntikan vaksin berkenaan ialah Pegawai Daerah Padang Terap, Datuk Md Shuhaime Abdul Rahman bersama 10 lagi petugas barisan hadapan di daerah itu.

Mahdzir yang juga Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkata, pihaknya sudah bersiap sedia bagi melaksanakan projek kemudahan elektrik 132 KV.

Katanya, projek bekalan elektrik itu akan bermula dari Tanjung Pauh, Jitra ke Kuala Nerang dan dari Kuala Nerang ke KRC di Padang Sanai.

"Saya merayu kepada kerajaan agar dapat mempercepatkan proses pengambilan tanah ini. Saya difahamkan pengambilan tanah fasa pertama sudah dilakukan dan sekarang sedang dibangunkan infrastruktur di sana.

"Pejabat Daerah dan Tanah Padang Terap sudah ambil tindakan sepatutnya. Saya ingat kita tak ada masalah. Saya jangka paling awal kemudahan elektrik ini boleh siap adalah pada awal 2022," katanya.

Pada Februari tahun lalu, media melaporkan Projek KRC dijangka menarik pelaburan bernilai RM10 bilion menjelang 2030, sekali gus menyumbang sebanyak RM2 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Berita Harian X