Selasa, 23 Februari 2021 | 4:46pm
Pegawai Kesihatan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Mohd Wazir Khalid menunjukkan fucuk dihurungi lalat ketika melakukan pemeriksaan terhadap empat perusahaan memproses fucuk secara tradisional di Sungai Bakap, di sini. Ops Runcit itu mendapati pemilik mengabaikan tahap kebersihan dengan membiarkan pelbagai haiwan berkeliaran hingga mencemarkan produk makanan yang dikeluarkan.
Pegawai Kesihatan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Mohd Wazir Khalid menunjukkan fucuk dihurungi lalat ketika melakukan pemeriksaan terhadap empat perusahaan memproses fucuk secara tradisional di Sungai Bakap, di sini. Ops Runcit itu mendapati pemilik mengabaikan tahap kebersihan dengan membiarkan pelbagai haiwan berkeliaran hingga mencemarkan produk makanan yang dikeluarkan.

Syor pinda Akta Makanan, naikkan denda kilang kotor

GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan meminda Akta Makanan 1983 selain menaikkan denda kepada RM30,000 terhadap pemilik kilang makanan yang didapati mengabaikan tahap kebersihan dan membiarkan premis beroperasi dalam keadaan kotor.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader, berkata pihaknya berpandangan Seksyen 11 Akta Makanan 1983 tidak mencukupi untuk mencegah pemilik kilang makanan dengan mengambil kira sebahagian besar daripada penduduk yang boleh terjejas oleh penyebaran makanan tercemar dari kilang yang tidak menjaga aspek kebersihan.

Beliau berkata, amalan penyediaan makanan yang tidak bersih dan kotor juga boleh menyebabkan pelanggan yang memakannya mengalami keracunan makanan sekali gus mencemarkan nama baik mereka yang mematuhi amalan standard pengendalian makanan.

"Justeru, CAP menggesa kerajaan supaya mempertimbangkan untuk menaikkan lagi denda kepada RM30,000 dengan mengambil kira kesan kesihatan yang serius akibat memakan makanan tidak bersih dan meminda Akta Makanan dengan sewajarnya.

"Pada masa ini, perintah penutupan dengan segera tidak melebihi 14 hari bagi mana-mana premis yang menyediakan atau menjual makanan dan jika disabitkan kesalahan boleh dipenjarakan untuk tempoh tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali dilihat tidak mencukupi," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kenyataan CAP itu susulan laporan media baru-baru ini yang mendedahkan empat perusahaan fucuk di Sungai Bakap,Nibong Tebal yang dikenakan notis kompaun kerana beroperasi dalam keadaan tidak bersih.

Dalam operasi yang dijalankan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) Khamis lalu, mendapati empat perusahaan itu beroperasi memproses fucuk berkenaan antara lapan hingga 40 tahun lalu tanpa memperoleh lesen daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Tinjauan di empat premis yang terletak dalam ladang kelapa sawit itu mendapati kesemua pemilik dan pekerja mengabaikan kebersihan apabila tidak mengendalikan produk fucuk dengan baik apabila tidak memakai apron, topi dan sarung tangan selain ada yang menggunakan mesin membersihkan kacang soya yang sudah berkeladak serta bersawang.

Selain itu, produk fucuk yang dikeluarkan daripada empat label berbeza itu didapati tiada logo halal pada plastik pembungkusan.

Berita Harian X