Sabtu, 13 Februari 2021 | 9:07am
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun. - NSTP/Malai Rosmah Tuah
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun. - NSTP/Malai Rosmah Tuah

Sabah terus catat penurunan kes baharu COVID-19

KOTA KINABALU: Jumlah daerah di Sabah dalam kategori zon merah berkurangan, dengan kes baharu positif COVID-19 turun kepada 118 kes semalam.

Jurucakap COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata sebanyak 17 daerah dikategorikan zon merah, manakala zon jingga dan kuning, masing-masing sebanyak lima daerah.

Beliau berkata, daerah Ranau dan Beaufort berubah daripada zon merah ke zon jingga, manakala daerah Telupid berubah daripada zon jingga ke zon kuning.

"Daerah Nabawan pula berubah daripada zon kuning ke zon jingga. Selain Telupid, daerah lain dalam zon kuning ketika ini ialah Kuala Penyu, Tongod, Pitas dan Tambunan, manakala dua lagi daerah dalam zon jingga ialah Semporna dan Tenom.

"Daerah yang masih dalam zon merah pula ialah Kota Kinabalu, Penampang, Putatan, Papar, Sipitang, Keningau, Tuaran, Kota Belud, Kudat, Kota Marudu, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Tawau dan Kalabakan," dalam kenyataan perkembangan COVID-19 Sabah, di sini, malam tadi

Masidi berkata, bilangan pesakit COVID-19 yang sembuh di negeri ini juga masih menunjukkan angka lebih tinggi berbanding jumlah pesakit baharu dengan seramai 266 pesakit dibenarkan keluar hospital semalam.

Beliau berkata, secara kumulatif, Sabah mencatat 51,115 kes positif COVID-19 setakat ini, manakala kumulatif pesakit sembuh seramai 48,974 orang.

Katanya, bagi pesakit COVID-19 yang belum sembuh, seramai 1,231 pesakit masih menerima rawatan iaitu 464 orang di hospital, 765 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) awam dan dua orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS).

"Bilangan pesakit COVID-19 dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) setakat ini pula ialah seramai 66 orang termasuk 20 orang memerlukan alat bantuan pernafasan," katanya .

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata jumlah pesakit COVID-19 yang masih dirawat setakat ini hanya mewakili 20.14 peratus penggunaan katil daripada 6,111 unit katil yang disediakan untuk kes COVID-19 di Sabah ketika ini.

Bagaimanapun, katanya dua kematian akibat COVID-19 turut dilaporkan di Sabah semalam, iaitu masing-masing di Kota Kinabalu dan Lahad Datu.

Katanya, daripada 118 kes baharu positif COVID-19 yang dilaporkan, sebanyak 75 kes atau 63.6 peratus dikesan melalui saringan kontak rapat, diikuti saringan bergejala sebanyak 17 kes (14.4 peratus) dan 13 kes (11 peratus) melalui saringan kluster sedia.

Berita Harian X