Rabu, 10 Februari 2021 | 6:27pm
 ADUN Batu Rakit, Bazlan Abd Rahman mengagihkan limau mandarin kepada masyarakat Cina di kawasan Batu Rakit, hari ini. - Foto NSTP/Baharom Bakar
ADUN Batu Rakit, Bazlan Abd Rahman mengagihkan limau mandarin kepada masyarakat Cina di kawasan Batu Rakit, hari ini. - Foto NSTP/Baharom Bakar

'Kami akur tak buat rumah terbuka ketika PKP'

KUALA NERUS: "Bukan tak mampu adakan rumah terbuka, tetapi kami lebih utamakan kesihatan dan patuh prosedur operasi standard (SOP). Walaupun sambutan Tahun Baharu Cina disambut dalam suasana suram, kami terima hakikat demi elak COVID-19," kata Lua Beng Soon, 64, dari Batu Rakit, di sini.

Beng Soon berkata demikian ketika ditemui pada program santuni masyarakat Cina anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan negeri (DUN) Batu Rakit, hari ini.

Pada program itu, 12 keluarga masyarakat Cina menerima limau mandarin, beras dan minuman disampaikan Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Batu Rakit, Bazlan Abd Rahman.

Dia yang mengusahakan kedai makan berkata, kebiasaannya setiap kali menyambut Tahun Baharu Cina, ramai rakan beragama Islam menghulurkan pelbagai juadah termasuk lemang dan nasi dagang untuk dijamu kepada pengunjung pada majlis rumah terbuka.

Seorang lagi penduduk, Lua Soon Kim, 68, pula berkata keluarganya tidak mengadakan majlis makan besar kerana lima anak dan menantunya yang tinggal di luar daerah tidak dapat pulang ke rumah.

Sementara itu dalam majlis lain, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM), M Rozi Bidin, berkata mualaf di negeri itu menerima bantuan awal untuk menyambut Tahun Baharu Cina.

Katanya, bantuan keseluruhan RM59,000 kepada 173 orang saudara baru itu dimasukkan terus ke akaun penerima secara berperingkat mulai hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, M Rozi Bidin menyampaikan bantuan kecemasan kepada mangsa kebakaran Mohd Johan Sidek di Kampung Merbau Patah. - Foto NSTP/ Baharom Bakar
Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, M Rozi Bidin menyampaikan bantuan kecemasan kepada mangsa kebakaran Mohd Johan Sidek di Kampung Merbau Patah. - Foto NSTP/ Baharom Bakar

"Bantuan itu sepatutnya dibayar akhir bulan ini, tetapi sebagai tanda keprihatinan atas kesusahan yang ditanggung perikutan pelaksanaan PKP, kita setuju untuk membuat pembayaran awal," katanya selepas menyampaikan bantuan kecemasan RM3,000 kepada mangsa kebakaran, Mohd Johan Sidek, 49, di Kampung Merbau Patah.

Berita Harian X