Selasa, 9 Februari 2021 | 2:09pm

Kedah dijangka alami masalah bekalan air akibat kemarau

ALOR SETAR: Penduduk, terutama di kawasan Kedah tengah diminta bersedia menghadapi gangguan bekalan air yang dijangka berlaku tidak lama lagi berikutan musim kemarau ketika ini.

Antara kawasan yang dijangka mengalami gangguan bekalan air adalah sekitar Merbok, Tanjung Dawai, Bedong, Semeling, Singkir dan Gurun.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air, Tenaga negeri, Datuk Suraya Yaacob, berkata ini kerana operasi loji rawatan air di Tupah, Merbok dan Gurun yang menampung bekalan di kawasan berkenaan dijangka terjejas berikutan cuaca panas ketika ini.

"Masalah air dijangka berlaku di Kedah tengah. Seperti tahun kebiasaan, kawasan ini mengharapkan air hujan dari Gunung Jerai dan kebolehan untuk proses air akan berkurangan daripada 11 juta liter (mld) kepada hanya sembilan mld ketika ini.

"Keadaan ini pasti akan menyebabkan beberapa kawasan mengalami kekurangan air dan kerajaan negeri dijadual mengadakan mesyuarat khas bagi mengatasi masalah ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan bantuan awal persekolahan secara pandu lalu kepada pelajar kurang kemampuan di Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH) di sini, hari ini.

Suraya berkata, sebagai persediaan awal, Syarikat Air Darul Aman (SADA) sudah menyediakan tangki besar di cawangan SADA Kuala Muda untuk memudahkan proses agihan air ke kawasan yang terjejas berjalan lancar.

Katanya, penduduk juga dinasihat menyediakan tangki air bersesuaian agar dapat digunakan sekiranya keadaan terdesak.

"Saya nasihatkan guna air secara berhemah , kalau yang sudah ada tangki, bersihkan tangki takut ada pokok yang sudah tumbuh atau haiwan di dalamnya.

"Bagi yang belum ada, sediakan tangki supaya lori dapat agihkan air dengan mudah dan cepat," katanya.

Suraya berkata, paras air di tiga empangan utama iaitu Empangan Ahning, Empangan Pedu dan Empangan Muda masih berada pada tahap selesa ketika ini.

"Kita akan lihat nanti jika cuaca panas berterusan sehingga musim menanam padi Mac depan. Masa itu kita akan agihkan air untuk kegunaan domestik dan pertanian yang memerlukan pengagihan secara efisien," katanya.

Berita Harian X