Selasa, 29 Disember 2020 | 8:15pm
Suasana pembayaran zakat di kaunter di wisma Pusat Pungutan Zakat (PPZ) di Dataran Shamelin. - Foto NSTP/ Hafiz Sohaimi
Suasana pembayaran zakat di kaunter di wisma Pusat Pungutan Zakat (PPZ) di Dataran Shamelin. - Foto NSTP/ Hafiz Sohaimi

PPZ-MAIWP jangka kutipan zakat cecah RM700 juta

KUALA LUMPUR: Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menjangkakan jumlah kutipan zakat tahun ini mencecah RM700 juta.

Ini berdasarkan kepada nilai kutipan semasa melebihi RM690 juta ketika ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Syed Ali AlHabshee, berkata kutipan berkenaan melebihi nilai tahun lalu iaitu RM682.2 juta.

Beliau berkata, peningkatan berkenaan disumbangkan 371,448 pembayar zakat yang mengatasi bilangan tahun lalu sebanyak 211,012 orang.

"Bukan sahaja kesedaran pembayar zakat semakin bertambah ke atas keupayaan PPZ-MAIWP, peningkatan jumlah bayaran juga didorong pembabitan syarikat swasta dan badan berkaitan kerajaan (GLC).

"Pencapaian ini melepasi sasaran diunjurkan PPZ-MAIWP, sekali gus membuktikan pandemik COVID-19 bukan penghalang untuk mereka menunaikan kewajipan berzakat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Syed Ali berkata, COVID-19 juga membuka ruang untuk PPZ-MAIWP menyediakan kaedah pembayaran zakat mengikut norma baharu, iaitu secara dalam talian.

"Seperti diketahui, bayaran zakat ini untuk membantu golongan asnaf dan ia disalurkan kepada Baitulmal-MAIWP.

"Pembangunan golongan asnaf merangkumi sumbangan bulanan, bantuan Aidilfitri, perubatan, perkahwinan dan musibah.

"Turut diberikan bantuan sara hidup, tempat tinggal, pendidikan, perniagaan dan bantuan khas musaadah COVID-19," katanya.

Berita Harian X