Selasa, 22 Disember 2020 | 7:51am
NGO membantu kerajaan menangani masalah penduduk. - Gambar hiasan NSTP/MOHD YUSNI ARIFFIN
NGO membantu kerajaan menangani masalah penduduk. - Gambar hiasan NSTP/MOHD YUSNI ARIFFIN

Kerajaan Sabah wajar beri insentif kepada NGO

KOTA KINABALU: Wakil rakyat PAS dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah mencadangkan kerajaan negeri memberi insentif kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang membantu menangani kesan wabak COVID-19.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik mewakili PAS, Dr Aliakbar Gulasan, berkata bagi berlaku adil, sokongan berterusan perlu diberikan kepada NGO terbabit, memandangkan kerajaan juga kadang-kadang memerlukan bantuan mereka.

"Kita mesti sedar bahawa NGO banyak membantu kerajaan negeri sepanjang penularan COVID-19, malah sejak sebelum berlaku pandemik itu lagi.

"Mereka boleh sampai di mana saja, termasuk di kawasan yang kita sebagai wakil rakyat sendiri belum pernah sampai. Mereka memberikan bantuan makanan, bantu membina rumah dan jambatan.

"Jadi, sudah sampai masanya kita sediakan insentif atau inisiatif bagaimana kerajaan dapat membantu NGO, sama ada dalam bentuk geran atau apa saja," katanya ketika membahaskan Belanjawan Sabah 2021 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, semalam.

Aliakbar yang juga Setiausaha PAS Sabah ialah ADUN pertama parti itu di Sabah yang dilantik menerusi kerjasama Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) membentuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS), selepas memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 26 September lalu.

Mengulas mengenai usaha membangunkan negeri, bekas pensyarah kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu mengingatkan semua wakil rakyat di negeri ini agar berkhidmat kepada rakyat tanpa mengambil kira parti yang diwakili.

Katanya, selepas PRN, semua wakil rakyat perlu melupakan warna bendera parti masing-masing untuk menumpukan sepenuhnya tanggungjawab berkhidmat kepada rakyat.

Aliakbar turut menyentuh mengenai keperluan untuk mewujudkan rumah ibadat sama ada untuk penganut Islam atau bukan Islam di setiap kawasan perumahan di negeri ini.

Katanya, pembinaan rumah ibadat itu boleh dilakukan berdasarkan komposisi penganut sesuatu agama di perumahan terbabit bagi mengatasi kesukaran penganut mencari rumah ibadat yang terdekat.

Sementara itu, katanya, kerajaan hari ini perlu mempunyai misi yang jelas berkaitan isu setinggan dalam usaha untuk memastikan rakyat memiliki rumah yang lebih selesa.

"Seingat saya, dulu kita pernah ada sasaran untuk mencapai setinggan sifar. Kali terakhir pada 2015 tetapi selepas itu saya lihat tiada perancangan baharu mengenai isu itu.

"Kita perlu mewujudkan pelan strategik penempatan bandar supaya rakyat dapat hidup dalam persekitaran yang aman," katanya.

Berita Harian X