Rabu, 2 Disember 2020 | 1:34pm
Minyak wangi ‘George Town’ diinspirasi daripada zaman penjajahan Pulau Pinang. - Foto Google
Minyak wangi ‘George Town’ diinspirasi daripada zaman penjajahan Pulau Pinang. - Foto Google

Warisan Georgetown diabadikan dalam minyak wangi

GEORGETOWN: Era penjajahan Pulau Pinang yang menjadi sebahagian warisan negeri kini diabadikan dalam minyak wangi oleh James Lee, anak jati negeri itu yang mencipta nama sebagai pembuat minyak wangi.

Pengusaha berusia 43 tahun itu berkata, beliau menggunakan gabungan kira-kira 40 minyak pati dan sintetik untuk menghasilkan minyak wangi eau de toilette edisi 'George Town'.

Beliau berkata, haruman 'Geoge Town' merangkumi empat aroma asas iaitu akuatik, rempah-ratus, bunga-bungaan dan kayu-kayan.

"Aroma akuatik inspirasi daripada bayu laut di pelabuhan perdagangan di Pulau Pinang, sementara bau buah pala, kayu manis, bunga lawang dan buah pelaga mengabadikan suasana perdagangan rempah ketika itu.

"Aroma bunga-bungaan pula berasaskan bunga raya dan ros, manakala bauan kayu-kayan diilhamkan oleh aroma di rumah tradisional serta tokong bagi mengimbas semula memori suasana George Town sebelum ini," katanya ketika ditemui Bernama di tempat kerjanya di Siam Road di sini.

Katanya, minyak wangi 'George Town' adalah produk pertamanya yang dikeluarkan di bawah jenama Josh Lee Fragrance yang diwujudkan pada Ogos 2012.

Mengimbas sejarah pembabitannya dalam bidang itu, Lee berkata, minatnya terhadap pembuatan minyak wangi timbul semasa membantu perniagaan bakeri keluarga.

"Selepas terdedah kepada aroma bahan-bahan bakeri seperti kopi, vanila, pandan dan macam-macam lagi, saya dapati saya ada bakat dalam haruman," katanya yang mempunyai ijazah dalam bidang kimia daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) selain pascasiswazah European Fragrance and Cosmetic Master daripada ISIPCA, institusi pengajian pembuatan minyak wangi terkemuka di Versailles, Perancis.

Katanya, prinsip teras dalam pembuatan minyak wanginya ialah wangian yang dihasilkan bukan sahaja untuk meningkatkan penampilan diri tetapi juga menyampaikan kisah warisan negara ini.

"Saya membesar di sini, sebuah negara yang mempunyai pelbagai kebudayaan, makanan yang unik serta rempah-ratus selain alam semula jadi yang indah, dan saya mahu manfaatkan semuanya sebagai tema teras dalam minyak wangi saya," katanya.

Pewangi lain yang dihasilkannya ialah 'Oud' yang inspirasi daripada haruman hutan hujan Malaysia serta 'Nyonya' - bunga-bungaan menggambarkan budaya Peranakan.

Beliau mengakui perniagaannya turut terjejas oleh penularan COVID-19 berikutan ketiadaan pasaran sasarannya iaitu pelancong dan kini bergantung pada pelanggan tetap tempatan. – BERNAMA

Berita Harian X