Jumaat, 27 November 2020 | 2:41pm

Sate Trolak 40 sen secucuk

TROLAK:Walaupun sudah 16 tahun berniaga sate, Mohd Bakri Ahmad, 55, masih mengekal harga lama.

Satu cucuk sate ayam dijual 40 sen dan daging pula 50 sen satu cucuk tetapi beliau masih memperoleh untung.

Mohd Bakri berkata, harga asal dikekal kerana baginya di samping berniaga, beliau juga bersedekah kepada orang ramai.

Katanya, beliau mempelajari cara membuat sate ketika berusia tujuh tahun daripada bapa angkatnya yang berniaga sate di Bentong, Pahang.

"Selepas berpindah di sini, saya mengambil upah menoreh getah namun apabila harga getah jatuh, saya mengambil keputusan berniaga sate pula.

"Pada peringkat awal, hanya seekor ayam yang digunakan untuk membuat sate dan ketika berniaga di pekan Bidor, sambutan tidak menggalakkan kerana pelanggan menyangka saya bukan Melayu," katanya di sini.

Mohd Bakri berkata, rakannya mengajak beliau berniaga di pasar malam dan sejak itu, satenya mula dikenali ramai disebabkan murah.

Katanya, pada musim perayaan Aidilfitri beberapa tahun sebelum ini, beliau mampu menjual kira-kira 500,000 cucuk sate sebulan, melalui tempahan orang ramai.

Katanya, sebelum tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), beliau mampu menjual kira-kira 9,000 cucuk sehari, termasuk di pasar malam.

"Ketika PKP, saya hanya mampu menjual kira-kira 4,000 cucuk sehari tetapi masih mengekalkan harga yang sama.

"Jika kita menjual dengan harga murah, sudah tentu pelanggan pelbagai golongan dapat merasa sate," katanya.

Mohd Bakri (kanan) juga menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat. - Foto NSTP/ROSMAN SHAMSUDIN
Mohd Bakri (kanan) juga menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat. - Foto NSTP/ROSMAN SHAMSUDIN
Berita Harian X