Jumaat, 27 November 2020 | 9:18am

Lelaki ditipu pelaburan tidak wujud

KUANTAN: Hasrat seorang lelaki di Karak, Bentong mahu mendapat keuntungan pantas dengan melaburkan wang dalam skim pelaburan, membawa padah apabila kerugian RM8,060.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata penipuan itu bermula awal bulan ini apabila mangsa berminat untuk menyertai skim pelaburan berkenaan yang dilihatnya di dalam media sosial.

"Mangsa berhubung dengan seorang individu sebelum membuat tiga kali transaksi ke dalam satu akaun yang diberikan oleh suspek dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM8,060.

"Suspek memberitahu bahawa pelaburan yang disertai oleh mangsa itu akan mendapat keuntungan selepas dua hari modal dilaburkan," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Beliau berkata, mangsa juga mempercayai pelaburan itu kerana suspek pernah menunjukkan gambar individu lain yang sudah mendapat keuntungan selepas menyertai pakej pelaburan berkenaan.

"Mangsa yang menyedari sudah ditipu skim pelaburan tidak wujud kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong semalam," katanya.

Mohd Wazir berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Berita Harian X