Selasa, 24 November 2020 | 10:05am
Gambar Hiasan
Gambar Hiasan

'Pembalakan di lokasi yang digazetkan' - Pejabat MB Kedah

ALOR SETAR: Aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Bukit Keramat dibuat di kawasan yang digazetkan sebagai hutan pengeluaran di daerah Padang Terap.

Pejabat Menteri Besar dalam kenyataannya, berkata Hutan Simpan Bukit Keramat yang diwartakan pada 17 Januari 2013 seluas 11,105 hektar, dibahagikan kepada dua kawasan iaitu hutan pengeluaran dan hutan perlindungan.

Katanya, daripada pembahagian itu, seluas 5,899 hektar digazetkan sebagai hutan pengeluaran, manakala 5,206 hektar adalah hutan perlindungan.

"Pada 1 Disember 2017, Jawatankuasa Tetap Hasil Bumi meluluskan seluas 1,400 hektar untuk aktiviti pembalakan dan 380 hektar lagi diluluskan pada 14 Disember tahun yang sama.

"Aktiviti pembalakan tidak dijalankan di kawasan yang digazetkan sebagai hutan perlindungan atau hutan simpan kekal," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan bagi mengulas kenyataan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang bertajuk "NGO terkilan dengan aktiviti pembalakan di Kompleks Hutan Hulu Muda' yang memaparkan turut imej satelit mendakwa kesan aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Bukit Keramat berhampiran Empangan Ahning di Padang Terap.

Menurut kenyataan itu lagi, Jabatan Perhutanan Negeri Kedah sudah menjalankan pemeriksaan di lapangan pada 17 November lalu dan mengesahkan tiada sebarang salah laku atau penebangan di luar kawasan diluluskan.

Mengulas lanjut, Pejabat Menteri Besar berkata, NGO berkenaan seharusnya menunjukkan sikap bertanggungjawab dalam kenyataan mereka dan tidak mencetuskan kekeliruan dalam pemikiran masyarakat berkaitan apa yang didakwa.

"Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor pada Ogos lalu dalam kenyataannya memberi jaminan bahawa Kawasan Hutan Simpan Hulu Muda akan dilindungi sebagai Kawasan tadahan, adalah tidak ada kaitan sama sekali dengan aktiviti pembalakan di Kawasan Hutan Simpan Bukit Keramat sebagaimana dikaitkan dalam kenyataan akhbar kumpulan NGO ini.

"Sehingga kini, tidak ada aktiviti pembalakan dijalankan di Kawasan Hutan Simpan Hulu Muda dan tuduhan seolah-olah kerajaan negeri bawah pimpinan Muhammad Sanusi memungkiri jaminan yang diberikan, tidak berasas sama sekali.

"Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) sudah menjalankan pemeriksaan di lapangan pada 17 November 2020 dan mengesahkan tiada sebarang salah laku atau tebangan di luar kawasan yang diluluskan," kata kenyataan itu.

Justeru, menurut kenyataan itu, tidak timbul sebarang isu pelanggaran undang-undang sebagaimana kebimbangan pihak NGO berkenaan kononnya pembalakan boleh menjejaskan hak Kerajaan Kedah untuk menerima dana Kerajaan Persekutuan dan antarabangsa bagi perlindungan sumber hutan seperti Pemindahan Fiskal Ekologi untuk Pemuliharaan Biodiversiti (EFT) dan REDD Plus.

Berita Harian X