Khamis, 12 November 2020 | 9:36pm

Tumpahan minyak punca 3 LRA di Sik, Kuala Muda henti tugas

ALOR SETAR: Sejumlah 34,200 akaun pengguna Syarikat Air Darul Aman (SADA) di Sik dan Kuala Muda mengalami gangguan bekalan susulan henti tugas tiga loji rawatan air (LRA) akan pencemaran.

Ketua Pegawai Eksekutif SADA, Mohd Suhaimi Mohd Jusoh, berkata tiga LRA terjejas ialah LRA Jeniang Baru, Jeniang Lama dan Sungai Pau kerana pencemaran dipercayai akibat tumpahan minyak.

Beliau berkata, pengguna mula mengalami gangguan bekalan jam 6 petang tadi dan dijangka berlarutan sehingga kerja pembersihan dan pemulihan air mentah selesai dilakukan dijangka awal pagi esok.

"Berdasarkan pemantauan, kesan tumpahan minyak sudah berhenti dan sekarang SADA dalam proses membersihkan tumpahan di tiga LRA yang dimasuki minyak.

"Bagaimanapun LRA di kawasan hilir seperti Teloi Kanan, Bukit Selambau, Kuala Ketil, Kulim Hi Tech dan Sungai Petani masih terkawal, namun dalam pemantauan," katanya dalam kenyataan malam ini.

Mohd Suhaimi berkata, pihaknya masih menunggu maklum balas Lembaga Sumber Air Negeri Kedah bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian terbabit.

"Sehingga kini, kerja pembersihan giat dijalankan dan operasi tiga loji terbabit dijangka pulih sebaik semua kerja selesai awal pagi nanti.

"Kita akan mengemas kini maklumat sekiranya terdapat perkembangan terbaru," katanya.

Berita Harian X