Selasa, 10 November 2020 | 2:08pm
Gambar hiasan. - Foto BERNAMA
Gambar hiasan. - Foto BERNAMA

Kerajaan diminta tambah inisiatif ekonomi, jana peluang kerja di Sabah

KOTA KINABALU: Kerajaan disaran melaksanakan lebih banyak inisiatif memulihkan ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan untuk membantu rakyat terjejas akibat COVID-19 terutama di Sabah.

Aktivis sosial dan hak asasi manusia, Datuk Patrick Sindu, berkata inisiatif membantu rakyat yang digariskan dalam Belanjawan 2021 perlu ditambah dengan memberi tumpuan terhadap aspek ekonomi.

Beliau berkata, inisiatif dalam belanjawan itu yang banyak tertumpu kepada bantuan untuk rakyat seperti pemberian Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) lebih bersifat sementara untuk meringankan kesan negatif COVID-19.

"Kita mengakui belanjawan tahun depan lebih bersifat 'belanjawan COVID-19' kerana banyak bantuan diberikan kepada rakyat untuk membantu meringankan kesan ekonomi dialami mereka disebabkan penularan pandemik itu.

"Bagaimanapun, saya lihat agak kurang inisiatif untuk pemulihan ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan bagi memastikan rakyat hilang kerja dapat bekerja semula dan mempunyai pendapatan tetap.

"Kita berharap kerajaan dapat menambahkan lagi inisiatif dalam belanjawan tahun depan khusus untuk memulihkan ekonomi dan memberi pekerjaan kepada rakyat terutama di Sabah yang paling terjejas akibat penularan COVID-19," katanya kepada BH di sini, hari ini.

Patrick berkata, walaupun ada usaha digariskan mewujudkan peluang pekerjaan menerusi penubuhan Majlis Pekerjaan Negara, ia perlu ditambah memandangkan bilangan pengangguran lebih-lebih lagi di Sabah meningkat mendadak.

Pada masa sama, katanya, kerajaan juga perlu memberi perhatian kepada golongan peniaga kerana ramai terjejas dan hilang pendapatan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Banyak kedai ditutup hingga sekarang, paling terjejas peniaga kecil, jadi perlu ada langkah membantu memulihkan perniagaan atau sekurang-kurangnya insentif galakan untuk peniaga memulakan semula perniagaan apabila situasi COVID-19 pulih," katanya.

Tambahnya, kerajaan negeri juga perlu mengambil inisiatif sama agar usaha untuk membantu rakyat dapat dilaksanakan lebih berkesan dan menyeluruh.

Patrick juga meminta kerajaan mengkaji semula peruntukan besar RM81 juta untuk menghidupkan semula Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) yang diumumkan dalam Belanjawan 2021.

Katanya, kajian semula itu perlu mengambil kira situasi semasa dalam negara yang lebih memerlukan perhatian dari segi usaha membantu rakyat dan memulihkan ekonomi berbanding kepentingan politik.

"Semua orang tahu apa itu JASA, ia lebih bersifat politik untuk kepentingan kerajaan sedangkan rakyat ketika ini lebih memerlukan pembelaan bagaimana meneruskan kehidupan yang terjejas akibat COVID-19.

"Kita tidak mahu hak asasi rakyat mendapat pembelaan 'terkurang' kerana lebih banyak dana digunakan untuk politik," katanya.

Beliau menyarankan peruntukan kepada JASA itu diagihkan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menjalankan aktiviti membantu rakyat.

"Pada pandangan saya, lebih baik wang itu dibahagikan dalam kalangan NGO sebagai dana untuk melaksanakan kerja kemasyarakatan di kampung.

"Ia lebih bermakna kerana kita boleh nampak hasilnya terus kepada rakyat. Dalam keadaan sekarang, rakyat harus diutamakan kerana ramai belum mendapat bantuan terutama di kawasan terpencil," katanya.

Berita Harian X