Sabtu, 7 November 2020 | 5:16pm
Pemilik dewan acara dan perkahwinan, CMI Hall and Event Space, Azri Che Mukhtar. - Foto Asrol Awang
Pemilik dewan acara dan perkahwinan, CMI Hall and Event Space, Azri Che Mukhtar. - Foto Asrol Awang

Dana RM4.6 bilion perkasa usahawan disambut baik

KUANTAN: Peruntukan dana RM4.6 bilion bagi memperkasakan usahawan terutama pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) disambut baik golongan berkenaan.

Pengumuman kerajaan pada Belanjawan 2021 semalam, sekali gus dapat membantu meringankan beban yang dialami usahawan yang terkesan daripada penularan wabak COVID-19.

Pemilik dewan acara dan perkahwinan, CMI Hall and Event Space, di sini, Azri Che Mukhtar, 31, berkata usahawan PKS pastinya berterima kasih di atas keprihatinan kerajaan dalam membantu golongan itu menerusi peruntukan yang disediakan dalam Belanjawan 2021.

Katanya, peruntukan pembiayaan PKS sebanyak RM510 juta itu diyakini memberikan kelegaan kepada usahawan yang perniagaan mereka terjejas kesan daripada wabak COVID-19.

Berdepan dengan penularan COVID-19 sejak Mac lalu, beliau berkata, ia memberi kesan terutama daripada sumber pendapatan, namun, pembiayaan yang disediakan kerajaan kepada usahawan PKS begitu dinantikan.

"Penambahbaikan yang dibuat menerusi insentif pengambilan pekerja di bawah PERKESO melalui Penjana Kerjaya untuk pekerja bergaji RM1,500 ke atas juga antara penambahbaikan terbaik yang dilihat dalam Belanjawan kali ini.

"Pemberian insentif yang dinaikkan dari kadar rata RM800 kepada 40 peratus gaji bulanan bakal membantu khususnya usahawan mikro PKS menarik minat graduan tempatan bekerja dengan mereka. Ini kerana selama ini mereka mempunyai kekangan kewangan untuk memberikan gaji setimpal dengan kelayakan masing-masing.

"Sebagai contoh, gaji minimum pereka grafik di bandar-bandar utama kini ialah sebanyak RM 2,500, melalui program ini majikan akan mendapat subsidi sebanyak RM 1,000 untuk setiap pekerja berbanding RM800 sebelum ini," katanya.

Selain itu, Azri juga berharap supaya kerajaan dapat memperkenalkan geran bagi usahawan belia yang hilang punca pendapatan atau diberhentikan pekerjaan sebagai modal pusingan bagi memulakan perniagaan, supaya nasib mereka terus terbela dan seterusnya melahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan belia.

"Ini kerana ramai usahawan belia yang mula untuk menceburkan diri dalam bidang keusahawanan selepas diberhentikan kerja terutamanya dari sektor pelancongan, pengangkutan, katering dan pengendalian acara," katanya.

Sementara itu, peniaga pakaian di sini, Suriati Jamaluddin, 45, berterima kasih kepada kerajaan yang menyediakan peruntukan khas kepada golongan usahawan PKS.

"Ini membuktikan kerajaan mengambil perhatian serius golongan usahawan yang perniagaan mereka terjejas ketika wabak COVID-19," katanya.

Semalam, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata peruntukkan dana bernilai RM4.6 bilion bagi memperkasakan golongan usahawan termasuk RM510 juta diperuntukkan bagi pembiayaan PKS.

Selain itu, katanya, peruntukan sama disediakan bagi PKS mikro Bumiputera melalui TEKUN dan Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) serta RM800 juta melalui program peningkatan keupayaan oleh Bank Pembangunan Malaysia dan SME Bank;

RM2 bilion lagi diperuntukkan bagi membantu pembiayaan PKS Bumiputera melalui Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) manakala RM1.3 bilion lagi untuk pelbagai program peningkatan kapasiti termasuk pembangunan profesional, Dana Kemakmuran Bumiputera serta program atau projek khusus untuk Bumiputera.

Berita Harian X