Selasa, 27 Oktober 2020 | 3:03pm
Dr Azman (kanan) bersama Zawawi (tengah) melepaskan benih udang galah pada Program Pelepasan Sejuta Benih Ikan di kawasan Sungai Lebam, Tasik Kenyir. - Foto NSTP/Zaid Salim
Dr Azman (kanan) bersama Zawawi (tengah) melepaskan benih udang galah pada Program Pelepasan Sejuta Benih Ikan di kawasan Sungai Lebam, Tasik Kenyir. - Foto NSTP/Zaid Salim

Udang galah tarikan baharu Tasik Kenyir

HULU TERENGGANU: Lebih 800 ribu benih udang galah dilepaskan di Tasik Kenyir, di sini, sekaligus menjadikan ia sebagai tarikan baharu buat kaki pancing di tasik berkenaan.

Exco Pertanian dan Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim, berkata sebelum ini Tasik Kenyir menjadi pilihan kaki pancing berikutan terdapat banyak spesis ikan berkualiti seperti kelah, lampam, temoleh, toman, baung dan terbol di tasik berkenaan.

"Pelepasan benih udang ini, memberi satu tarikan baharu kepada kaki pancing, khusus penggemar udang sama ada dari dalam dan luar negeri," katanya pada Program Pelepasan Sejuta Ekor Ikan di Sungai Lebam di Tasik Kenyir, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu, Zawawi Ali.

Azman berkata, pelepasan benih udang itu bagi menampung sasaran sejuta benih ikan yang akan dilepaskan di tasik berkenaan yang dijangka selesai tahun depan.

Katanya, sehingga kini, kerajaan negeri menerusi Jabatan Perikanan Terengganu sudah melakukan sebanyak dua kali pelepasan benih udang membabitkan sebanyak 802,260 ekor dengan nilai pasaran yang dianggarkan sebanyak RM80,226.

"Kali pertama benih udang ini dilepaskan pada Selasa lalu iaitu sebanyak 402,260 ekor dengan anggaran nilaian pasaran sebanyak RM40,226.

"Semua bekalan benih udang ini diperoleh dari Pusat Penetasan Udang Galah (PPUG) di Kampung Acheh, Perak," katanya.

Beliau berkata, bagi pelepasan benih ikan, bermula Julai lalu sehingga kini, kerajaan negeri sudah melepaskan sebanyak 905,260 ekor dengan anggaran nilai pasaran sebanyak RM240 ribu.

Katanya, daripada jumlah benih udang dan ikan yang dilepaskan, pihaknya menjangkakan sebanyak 60 hingga 80 peratus sahaja yang hidup dan matang dalam jangkamasa lapan bulan manakala selebihnya menjadi makanan ikan besar.

Berita Harian X