Khamis, 22 Oktober 2020 | 2:47pm

Penerbangan pertama bawa peralatan bina MTC tiba di Sabah

KOTA KINABALU: Penerbangan pertama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) membawa aset logistik bagi mewujudkan 'Makeshift Treatment Centre' atau pusat rawatan sementara (MTC) di Kompleks Penjara Kota Kinabalu, Kepayan tiba jam 11.52 pagi tadi.

Penerbangan menggunakan kapal pengangkut TUDM A400M itu antara lain membawa peralatan perlindungan diri (PPE) dan khemah.

Turut dibawa dalam penerbangan sama adalah peralatan perubatan seperti kit ujian pantas (RTK) dan bekalan ubat-ubatan bagi kegunaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di seluruh Sabah.

Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika membuat sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) baru-baru ini memaklumkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bakal mewujudkan MTC di dalam Kompleks Penjara Kota Kinabalu.

Beliau berkata, MTC dalam kawasan penjara di Kepayan adalah mengikut model yang sama seperti dilaksanakan di Penjara Pokok Sena, Kedah sebelum ini, bertujuan sebagai pusat rawatan atau tempat pengasingan pesakit yang dijangkiti COVID-19.

  • Lagi berita mengenai COVID-19


  • Pegawai dan anggota dari Markas 5 Divisyen memunggah kotak berisi set perlindungan diri (PPE) dan peralatan khemah bagi membina Pusat Rawatan Sementara (MTC) di Kompleks Penjara Kota Kinabalu setibanya di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, hari ini. - NSTP/Mohd Adam Arinin
    Pegawai dan anggota dari Markas 5 Divisyen memunggah kotak berisi set perlindungan diri (PPE) dan peralatan khemah bagi membina Pusat Rawatan Sementara (MTC) di Kompleks Penjara Kota Kinabalu setibanya di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, hari ini. - NSTP/Mohd Adam Arinin
    Berita Harian X