Ahad, 18 Oktober 2020 | 5:46pm
PUTRAJAYA 14 OCTOBER 2020. Anggota polis dan tentera mengadakan sekatan jalan raya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Putrajaya. NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
PUTRAJAYA 14 OCTOBER 2020. Anggota polis dan tentera mengadakan sekatan jalan raya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Putrajaya. NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

PKPKB: Tiada kompaun, tangkapan di Putrajaya

PUTRAJAYA: Polis Putrajaya belum mengeluarkan sebarang kompaun atau menjalankan tangkapan di sini berikutan pematuhan baik warga pusat pentadbiran negara di sini sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd Fadzil Ali, berkata situasi di sekatan jalan raya (SJR) di sini juga terkawal dan berjalan lancar.

Beliau berkata, selepas lima hari penguatkuasaan PKPB sejak 14 Oktober lalu, pihaknya masih belum mengeluarkan sebarang kompaun dan menjalankan tangkapan, sebaliknya lebih kepada memberi pendidikan kepada orang ramai mengenai PKPB bagi membendung pandemik COVID-19.

Katanya, rata-rata penduduk di Putrajaya dalam kalangan kakitangan kerajaan, mudah mematuhi arahan dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Kebanyakan premis perniagaan di sini juga lengang kerana penduduk memilih tinggal di rumah, namun pasukan pematuhan tetap meneruskan pemeriksaan di kedai dan pusat perniagaan bagi memastikan pengusaha mematuhi SOP dengan memeriksa suhu pelanggan serta menyediakan buku daftar pengunjung," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Polis Putrajaya melaksanakan empat SJR bermula tengah malam Rabu lalu, membabitkan 188 pegawai dan anggota.

Empat SJR itu diadakan di Lebuh Sentosa menghala keluar ke Lebuhraya Maju (MEX Expressway); Persiaran Selatan menghala keluar ke Dengkil; Persiaran Utara Pintu Dua A menghala ke Kajang dan Persiaran Utara Pintu Tiga menghala ke Puchong.

Sementara itu, pekerja swasta, SaifulRizal Samsuddin, 43, berkata beliau berpuas hati SOP di Medan Selera Presint 9 yang menyediakan pengawal keselamatan bagi memastikan pengunjung mendaftar dan memeriksa suhu badan.

Katanya, tindakan pengurusan mensyaratkan hanya dua pelanggan di setiap meja makan dapat mengekang penularan pandemik berkenaan.

Berita Harian X