Sabtu, 17 Oktober 2020 | 8:13pm
686 kawasan di Wilayah Petaling, Gombak, Klang/Shah Alam, Kuala Lumpur dan Hulu Selangor yang menerima bekalan air terawat dari LRA SSP1 akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual ekoran penutupan separa itu. FOTO SHAHMI IMRAN
686 kawasan di Wilayah Petaling, Gombak, Klang/Shah Alam, Kuala Lumpur dan Hulu Selangor yang menerima bekalan air terawat dari LRA SSP1 akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual ekoran penutupan separa itu. FOTO SHAHMI IMRAN

686 kawasan alami gangguan bekalan air malam ini hingga esok

SHAH ALAM: Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) terpaksa dihenti tugas separa untuk kerja pembaikan susulan paip air yang menyalurkan bekalan air terawat mengalami kebocoran.

Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) dalam kenyataan memaklumkan, sebanyak 686 kawasan di Wilayah Petaling, Gombak, Klang/Shah Alam, Kuala Lumpur dan Hulu Selangor yang menerima bekalan air terawat dari LRA SSP1 akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual ekoran penutupan separa itu.

"Bekalan air akan ditutup pada jam 9 malam ini dan kerja pembaikan berkenaan dijangka selesai sepenuhnya pada jam 8 pagi esok.

"Bekalan air akan mula disalurkan secara berperingkat selepas kerja pembaikan siap dan sistem rawatan air di loji beroperasi seperti biasa pada jam 2 petang, esok," katanya.

Beliau berkata, pengguna disarankan menyimpan bekalan air secukupnya sebelum penutupan bekalan air dan menggunakan air secara berhemat.

Katanya, Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden ini dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa, aplikasi telefon bimbit Air Selangor, facebook dan instagram Air Selangor, atau laman sesawang kami www.airselangor.com.

Berita Harian X