Sabtu, 17 Oktober 2020 | 2:52pm
Aliakbar (dua dari kanan) bersama sebahagian penduduk Kampung Keliangau, Menggatal yang menerima sumbangan barangan keperluan asas. - Foto NSTP/Yun Mikail
Aliakbar (dua dari kanan) bersama sebahagian penduduk Kampung Keliangau, Menggatal yang menerima sumbangan barangan keperluan asas. - Foto NSTP/Yun Mikail

PRK Batu Sapi: PAS belum putuskan tanding

KOTA KINABALU: PAS Sabah akan mendapatkan 'petunjuk' daripada kepimpinan pusat sama ada meletakkan calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi, Disember depan.

Setiausaha PAS Sabah, Dr Aliakbar Gulasan, berkata dalam situasi penularan COVID-19 beliau berpendapat lebih baik jika parti itu tidak meletakkan calon.

"Jumlah kes positif menunjukkan peningkatan yang mendadak setiap hari. Oleh itu, kita harus melihat perkara ini dan meletakkan keselamatan serta kesihatan rakyat sebagai keutamaan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan bantuan makanan kepada penduduk Kampung Keliangau, Menggatal, di sini, hari ini.

Lebih 60 bakul makanan terdiri barangan keperluan asas termasuk beras, tepung, telur dan ayam diberikan kepada penduduk setempat.

Aliakbar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik berkata, pemberian sumbangan terbabit adalah fasa pertama manakala 80 bakul lagi bakal disalurkan untuk fasa kedua pada Selasa depan.

Katanya, bantuan kepada penduduk kawasan itu yang majoriti beragama Kristian menzahirkan kedudukan sebenar bahawa pihaknya menghulurkan bantuan tanpa mengira latar belakang agama atau kaum.

"Hal ini yang sering disalah erti kerana sesetengah pihak menyatakan PAS selalu meminggirkan masyarakat bukan Islam. Ini suatu persepsi yang sangat negatif.

" ...kadang-kadang ada pihak tertentu yang membuat provokasi atau bersifat prejudis terhadap PAS," katanya.

Berita Harian X