Rabu, 14 Oktober 2020 | 5:05pm
Penghadang konkrit digunakan untuk menghalang laluan tikus di Sabak Bernam yang digunakan orang awam untuk merentas daerah ketika PKPB. - NSTP/Amirul Aiman Hamsuddin
Penghadang konkrit digunakan untuk menghalang laluan tikus di Sabak Bernam yang digunakan orang awam untuk merentas daerah ketika PKPB. - NSTP/Amirul Aiman Hamsuddin

Polis tutup 2 'lorong tikus' rentas daerah di Sabak Bernam

SABAK BERNAM: Polis daerah ini menutup dua 'lorong tikus' yang dikesan digunakan orang awam untuk meloloskan diri bagi tujuan rentas daerah ketika penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Polis Daerah Sabah Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias, berkata dua 'lorong tikus' itu ialah melalui laluan bawah jambatan menghubungkan Sabak Bernam ke Teluk Intan dan pusingan U di Bagan Nira, dekat sini.

Beliau berkata, tindakan penutupan itu diambil selepas mendapati kedua-dua laluan itu terus dijadikan sebagai laluan alternatif mengelak sekatan jalan raya (SJR) dilakukan polis.

"Kedua-dua laluan itu kini ditutup menggunakan penghadang konkrit dan pegawai serta anggota polis turut ditempatkan untuk melakukan pemantauan setiap masa," katanya.

Dalam pada itu, Agus Salim berkata, tiga SJR diadakan di daerah ini susulan pelaksanaan PKPB berkuat kuasa hari ini.

Ia membabitkan di Sekinchan (Jalan Kuala Selangor menghala ke Sekinchan), Jalan Merbau Berdarah dan Jalan Bagan Nira (membabitkan dua hala iaitu Sabak Bernam dan Teluk Intan).

"Kita ingatkan masyarakat mematuhi arahan PKPB khususnya Sabak Bernam dan berharap orang awam bersama-sama membantu mencegah penularan wabak COVID-19," katanya.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan pelaksanaan PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berikutan peningkatan kes COVID-19.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X