Rabu, 14 Oktober 2020 | 2:26pm
PENGARAH KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah (kiri) bersama Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Negeri, Aminuddin Mohamad, meneliti barangan tiruan untuk dilupuskan di Klang, hari ini. NSTP/MUHD ASYRAF SAWAL
PENGARAH KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah (kiri) bersama Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Negeri, Aminuddin Mohamad, meneliti barangan tiruan untuk dilupuskan di Klang, hari ini. NSTP/MUHD ASYRAF SAWAL

Barang tiruan RM2.1 juta dilupus

SHAH ALAM: Beg tangan dan dompet menggunakan beberapa jenama terkenal menjadi antara barangan tiruan bernilai RM2.11 juta yang dilupuskan, hari ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah, berkata semua barangan berkenaan adalah hasil rampasan dalam 16 kes.

Katanya, ia termasuk seluar jeans, tablet dan alat ganti kenderaan.

"Rampasan barang tiruan itu membabitkan siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Hak Cipta 1987, Akta Perlindungan Pengguna 1999, Akta Cap Dagang 2019 serta Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid 1993.

"Pelupusan dibuat selepas mendapat kelulusan dan perintah mahkamah," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelupusan Eksibit Perdana KPDNHEP Selangor sempena Hari Penguatkuasa ke-48 di sini, hari ini.

Muhamad Zikril berkata, barang tiruan bernilai RM3.29 juta daripada 243 kes dilupuskan sejak Januari lalu.

Katanya, antara modus operandi dikenal pasti sepanjang operasi membanteras sindiket jualan barang tiruan ialah operasi di premis tidak berdaftar dan jualan di pasar malam.

"Kegiatan menjual barangan tiruan turut dilakukan secara dalam talian.

"Kita memberi amaran keras kepada peniaga supaya tidak menjual barang tiruan manakala pengguna juga perlu mengelak memberi barangan sedemikian," katanya.

Berita Harian X