Selasa, 29 September 2020 | 11:36am
BOM lama dipercayai digunakan pada zaman perang dunia kedua ditemui di halaman sebuah rumah di Permatang Berangan. - Foto/Ihsan PDRM
BOM lama dipercayai digunakan pada zaman perang dunia kedua ditemui di halaman sebuah rumah di Permatang Berangan. - Foto/Ihsan PDRM

Jumpa bom perang dunia kedua di halaman rumah

TASEK GELUGOR: Seorang wanita terkejut apabila dimaklumkan ibunya mengenai objek menyerupai bom lama yang tertanam di dalam tanah di hadapan halaman rumah sewa mereka di Permatang Berangan, di sini, semalam.

Wanita berusia 30 tahun itu didatangi ibunya yang menceritakan terdapat satu objek besi yang terdedah di dalam tanah selepas hujan kira-kira jam 5 petang sebelum mengoreknya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata ibu wanita terbabit mengesyaki objek itu adalah bom lama dan meminta anaknya membuat laporan polis.

"Pemeriksaan polis di lokasi rumah kampung itu mendapati objek berbentuk bulat dan tirus pada hujung mempunyai persamaan seperti bom mortar lama berukuran kira-kira 14 sentimeter (sm) panjang dan lebar kira-kira 7 sm.

"Unit Pemusnah Bom (UPB) yang tiba kira-kira jam 8.15 malam di lokasi juga mengesahkan ia jenis bom shell 20mm yang digunakan pada perang dunia kedua.

"Sehubungan itu, bom berkenaan dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang dan akan dimusnahkan pada hari ini di lokasi selamat," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Ibu dan wanita itu menyewa di rumah berkenaan sejak enam tahun lalu.

"Keadaan sekeliling rumah adalah seperti keadaan asal semasa disewa dan tiada penambahan sebarang tanah atau batu," katanya.

Berita Harian X