Selasa, 8 September 2020 | 3:59pm
Penduduk Taman Desa Kamila, Alor Setar, Ismail Ahmad menunjukkan pili yang tiada air yang dihadapai sejak 10 tahun lalu - Foto NSTP/Amran Hamid
Penduduk Taman Desa Kamila, Alor Setar, Ismail Ahmad menunjukkan pili yang tiada air yang dihadapai sejak 10 tahun lalu - Foto NSTP/Amran Hamid

Bosan masalah bekalan air sejak 10 tahun

ALOR SETAR: Kira-kira 200 penduduk di Taman Desa Kamila di sini bosan dengan masalah gangguan air sejak 10 tahun lalu menyebabkan aktiviti harian mereka terjejas.

Penduduk, Mohd Zaki Zain, 60, berkata gangguan bekalan air bertambah teruk hujung Julai lalu apabila bekalan air hanya diterima pada waktu tertentu.

"Bekalan air di sini bertekanan rendah sejak 10 tahun lalu, ia membabitkan kira-kira 50 buah rumah termasuk rumah kedai di fasa tiga taman ini," katanya.

Beliau berkata air terputus tanpa mengira masa ada ketika anak-anak mandi untuk kesekolah apabila air tiba-tiba tidak ada.

"Begitu juga ketika sedang memasak dan sebagainya, terpaksa berhenti begitu saja.

"Ada hari mereka tutup bekalan selama beberapa jam sahaja, ada ketikanya sehingga tengah malam baru ada air, kadang-kadang air yang sampai keruh dan kotor," katanya.

Penduduk lain, Ismail Ahmad, 55, berkata mereka sudah beberapa kali membuat aduan namun tiada sebarang tindakan diambil.

Katanya, rata-rata penduduk terpaksa mengeluarkan modal lebih RM300 untuk membeli pam air elektrik sekali gus menyebabkan bil elektrik juga meningkat.

"Ada penduduk yang terpaksa tanggung kos lain kerana mesin basuh rosak akibat air kotor dan bekalan air terputus tiba-tiba, saya hairan kerana hanya fasa kami yang terjejas sedangkan fasa satu dan dua ada bekalan air dengan baik.

"Kami benar-benar rasa letih kerana masalah berlarutan tanpa penyelesaian, kami sangat berharap gangguan bekalan ini dapat diselesaikan segera," katanya yang menetap di taman itu sejak 20 tahun lalu.

Sementara itu, jurucakap Syarikat Air Darulaman (SADA) berkata, gangguan bekalan air di taman itu akibat tekanan air rendah.

Katanya, SADA terpaksa membahagikan bekalan air mengikut kawasan bagi membolehkan kawasan lain turut menerima bekalan pada waktu tertentu.

"Kawasan ini menerima bekalan air terawat melalui Loji Rawatan Air (LRA) Pelubang, untuk tempoh jangka masa panjang, LRA itu kini sedang dinaik taraf dan apabila ia siap kelak gangguan bekalan air di seluruh daerah Kubang Pasu dan Kota Setar akan dapat disalurkan dengan sempurna dan lancar," katanya.

Berita Harian X