Khamis, 3 September 2020 | 1:26pm
Penduduk, Roslan Mohd Rawie, menunjukkan Kompleks Sekolah Rendah dan Menengah Bandar Saujana Putra yang tehrenti pembinaannya sejak lapan bulan lalu - Foto NSTP/Ruwaida Md Zain
Penduduk, Roslan Mohd Rawie, menunjukkan Kompleks Sekolah Rendah dan Menengah Bandar Saujana Putra yang tehrenti pembinaannya sejak lapan bulan lalu - Foto NSTP/Ruwaida Md Zain

Mana sekolah Bandar Saujana Putra?

KUALA LANGAT: Pembinaan projek sekolah rendah dan menengah di Bandar Saujana Putra, di sini, yang terhenti sejak Disember lalu menimbulkan tanda tanya penduduk.

Penantian lebih 40,000 penduduk, khususnya yang mempunyai anak bersekolah sejak 10 tahun lalu masih belum berakhir apabila kompleks sekolah yang sepatutnya mula beroperasi tahun ini tidak menjadi kenyataan.

Penduduk mengharapkan sekolah berkenaan dapat beroperasi tahun ini dan tidak perlu lagi menghantar anak mereka ke sekolah yang jauh seperti di Puchong, USJ atau Shah Alam.

Penduduk juga khuatir tapak pembinaan itu menjadi sarang nyamuk Aedes yang menyebabkan denggi.

Tinjauan BH mendapati sebahagian besar blok bangunan sudah dibina tetapi kawasan pembinaan itu sunyi tanpa kerja dijalankan manakala ia dikawal oleh anggota RELA.

Bagaimanapun, penduduk mendakwa kerja pembinaan dihentikan sejak Disember lalu.

Seorang penduduk yang tinggal di situ sejak Bandar Saujana Putra mula dibuka pada tahun 2005, Shamsuddin Salleh, 50, berkata, disebabkan tiada sekolah berdekatan, anak-anak di situ dihantar ke sekolah di luar daerah Kuala Langat, iaitu Shah Alam, Subang, Puchong.

"Saya tinggal di sini sejak 2006, tahun demi tahun jumlah penduduk Bandar Saujana Putra bertambah sehingga mencecah kira-kira 40,000 malah anak-anak semua sedang membesar dan berada di alam persekolahan.

"Sebab itu kami sangat perlukan sekolah berdekatan dengan kediaman kami di sini. Pertama kali kami mohon sekolah dibina di sini pada 2008 dan sekolah yang terbengkalai ini mula dibina kira-kira dua tahun lalu, sepatutnya dijangka siap tahun ini.

"Tetapi secara tiba-tiba dihentikan pembinaannya pada penghujung tahun lalu. Difahamkan sekolah menengah sudah siap kira-kira 90 peratus manakala sekolah kebangsaan kira-kira 20 peratus sahaja," katanya kepada BH.

Shamsuddin berkata, ibu bapa yang mempunyai anak masih bersekolah tiada pilihan lain, terpaksa menghantar anak di sekolah yang jauh, menyediakan kos tambang bas atau van.

"Setiap bulan saya sendiri perlu sediakan RM120 untuk pengangkutan setiap anak, saya ada empat anak masih bersekolah dan bagi ibu bapa kurang berkemampuan, Lembaga Zakat Selangor (LZS) ada membantu menyediakan yuran ini.

"Tetapi kami harap sekolah terbengkalai ini dapat diselesaikan segera kerana banyak isu akan timbul jika berterusan tambahan pula isu denggi disebabkan projek sekolah terbengkalai itu, begitu juga kesesakan lalu lintas di satu-satunya bulatan untuk masuk ke kawasan ini.

"Kami tahu, kompleks sekolah itu tidak mampu menampung jumlah anak-anak yang tinggal di sini yang semakin ramai tetapi ini alternatif terbaik berbanding hantar anak di sekolah jauh terutamanya ibu bapa kurang mampu dan tiada pengangkutan," katanya.

Usaha wartawan BH untuk masuk ke kawasan itu gagal kerana pengawal keselamatan tidak membenarkannya.

Bagaimanapun tinjauan dari luar mendapati kompleks sekolah menengah sudah hampir namun bangunan sekolah rendah masih tidak kelihatan.

Penduduk mendakwa sekolah rendah masih dalam peringkat awal pembinaan, belum ada bangunan cuma kerangka sahaja.

Penduduk yang tinggal di rumah pangsa bersebelahan sekolah itu juga mendakwa kawasan itu dulu lapang kini dipenuhi semak samun.

Suri rumah, Connie Sylvie Moncal, 35, berkata beliau dan suami berpindah ke Bandar Saujana Putra pada tahun 2018 selepas membeli sebuah pangsapuri berhampiran kompleks itu pada 2016.

"Salah satu sebab kami beli rumah dan tinggal di sini kerana kompleks sekolah itu dekat dengan rumah kami, tidak sampai satu kilometer malah dari rumah kami boleh nampak sekolah.

"Kami juga dapat tahu, sekolah itu akan mula operasi pada tahun 2020, jadi kami sangat gembira kebetulan anak sulung kami masuk darjah satu pada tahun ini.

"Tetapi malangnya, sekolah tidak siap dan kami terpaksa hantar anak ke sekolah rendah di Putra Height sejauh 9.5 kilometer," katanya ketika ditemui.

Katanya, jika tiada kesesakan lalu lintas sekolah di Putra Height hanya mengambil masa 15 minit, tetapi kerana kesesakan lalu lintas perjalanan ke sekolah mengambil masa 45 minit.

"Anak kami sekolah petang, kesesakan lalu lintas akan berlaku bermula 5.30 petang hingga 6.30 petang, waktu puncak ramai pulang dari kerja selain ambil anak sekolah," katanya.

Penghuni rumah pangsa itu, Roslan Mohd Rawie, 53, juga berharap pembinaan sekolah itu disegerakan kerana lebih 50 peratus anak-anak di rumah pangsa berkenaan masih bersekolah.

"Elok disegerakan pembinaannya, permudahkan untuk anak-anak bersekolah. Lagipun dekat dekat rumah pangsa ini, anak-anak boleh berjalan kaki ke sekolah.

Berita Harian X