Isnin, 31 Ogos 2020 | 11:15am

Warga emas kayuh basikal keliling Semenanjung

KOTA BHARU: Wan Hashim Wan Mahmood, 74, tahun mengayuh basikal selama 23 hari mengelilingi Semenanjung untuk meraikan kemerdekaan, sekali gus menggamit memori yang pernah berbasikal dari negeri ini ke Stadium Merdeka, Kuala Lumpur bagi tujuan sama pada 60 tahun lalu.

Wan Hashim Wan Mahmood tidak menjadikan faktor umur sebagai penghalang, sebaliknya mengambil semangat pejuang kemerdekaan terdahulu bagi menamatkan misi kayuhan bermula 8 Ogos itu pada hari ini.

Beliau berkata, niat berbasikal itu pada awalnya dihalang keluarga susulan COVID-19 tetapi semangat dalam diri menyebabkannya meneruskan misi itu tanpa mengabaikan keselamatan.

"Saya mendapat pengiktirafan The Malaysia Book Records buat kali keenam selepas mencapainya pada 2014, 2015, 2017, 2018 dan 2019. Setiap misi memberi pengalaman dan cabaran berbeza tetapi alhamdulillah dapat melaluinya dengan baik.

"Paling mencabar pada misi kali ini, adalah untuk menawan Banjaran Titiwangsa dalam masa sehari selama 11 jam dengan mengayuh basikal mendaki bukit sejauh 80 kilometer. Biasanya, pengayuh perlu mengambil masa sekurang-kurangnya dua hari melepasi laluan ini.

"Setiap kali rasa mahu berputus asa, saya mengenangkan perjuangan bangsa terdahulu yang sanggup berkorban demi memerdekakan negara hingga memberi semangat untuk terus mengayuh ke destinasi," katanya ketika ditemui yang baru sampai di perkarangan rumahnya di Jalan Telipot di sini.

Wan Hashim Wan Mahmood, 74, disambut adiknya, Wan Habsah Wan Mahmood, 69 setelah menamatkan misi kayuhan solo merdeka 2020 selama 23 hari di rumahnya di Jalan Telipot di Kota Bharu, hari ini. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Wan Hashim berkata, selain menghargai Hari Kebangsaan, kayuhan itu turut menggamit memori 60 tahun dahulu apabila seawal usia 14 tahun, dia pernah berbasikal dari Kelantan ke Stadium Merdeka, Kuala Lumpur semata-mata untuk menyambut Kemerdekaan.

Katanya, jika dulu, cabarannya adalah kerana usia yang terlalu muda, kini dia bergelar warga emas, namun bersyukur masih dapat menamatkan misi terbabit.

"Ini cara saya menzahirkan rasa dan semangat kemerdekaan memandangkan usia yang sudah lanjut. Mungkin apa saya lakukan berbeza dengan cara generasi baharu meraikannya.

"Kita perlu menunjukkan rasa cinta pada negara dan meraikan kemerdekaan dengan apa cara sekalipun agar semangat patriotik terus membara, sekali gus mengekalkan kemerdekaan yang kita kecapi hari ini," katanya.

Wan Hashim sebelum ini pernah membuat kayuhan berbasikal ke Vietnam, Kemboja, Thailand, Singapura dan Riau, Indonesia.

Wan Hashim Wan Mahmood, 74, disambut adiknya, Wan Habsah Wan Mahmood, 69 setelah menamatkan misi kayuhan solo merdeka 2020 selama 23 hari di rumahnya di Jalan Telipot di Kota Bharu, hari ini. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Wan Hashim Wan Mahmood, 74, disambut adiknya, Wan Habsah Wan Mahmood, 69 setelah menamatkan misi kayuhan solo merdeka 2020 selama 23 hari di rumahnya di Jalan Telipot di Kota Bharu, hari ini. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Berita Harian X