Ahad, 16 Ogos 2020 | 2:44pm
Menteri Wilayah, Tan Sri Annuar Musa
Menteri Wilayah, Tan Sri Annuar Musa

DBKL diminta amalkan kaedah sifat bantu penjaja

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan meneruskan tindakan penguatkuasaan terhadap penjaja dan peniaga yang menjalankan perniagaan di lokasi yang tidak dibenarkan.

Bagaimanapun, Menteri Wilayah, Tan Sri Annuar Musa, mahu DBKL pada masa sama turut mengambil pendekatan mendengar isu peniaga dan membantu memudahkan mereka mendapat lesen perniagaan, serta menempatkan mereka di lokasi yang sesuai.

"Saya tak nak ada isyarat yang salah, seolah-olah saya benarkan semua orang untuk menjaja di mana-mana saja, termasuklah hingga menghalang lalu lintas dan menimbulkan gangguan awam.

"Proses penguatkuasaan akan berjalan sepanjang masa bagi menentukan apa yang boleh dan tidak boleh, cuma saya minta DBKL amalkan kaedah yang bersifat murni dan membantu.

"Kalau temui penjaja, khususnya golongan muda, di tempat yang salah atau berniaga tanpa lesen, kena galakkan mereka ambil lesen dan bantu mereka cari ruang yang boleh dibenarkan untuk mereka berniaga," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Pada masa sama, Annuar berharap peniaga dan penjaja kecil tidak mengambil kesempatan itu untuk berniaga di lokasi yang menghalang lalu lintas, merosakkan kemudahan awam, menimbulkan ketidak selesaan awam serta tidak menjaga kebersihan.

Jelasnya, DBKL sudah mengenal pasti 1,400 kawasan perniagaan dan penjajaan baharu, yang sebelum ini adalah lokasi yang tidak dibenarkan berniaga, dan peniaga serta penjaja kecil akan ditempatkan di kawasan itu secara berperingkat.

Mengambil contoh isu membabitkan penguat kuasa DBKL dan penjaja di Taman Tasik Titiwangsa baru-baru ini, Annuar berkata ia bukan salah penguat kuasa yang sudah memberikan notis sebelum itu, namun memahami penjaja kecil mahu menumpang mencari rezeki di situ.

"Kita belanja hampir RM100 juta naik taraf Taman Tasik Titiwangsa, tentu orang nak tumpang cari rezeki. Kita kena pastikan ada pengurusan bandar yang seimbang, iaitu cakna pada peniaga kecil yang wujud bersama kemajuan bandar, di samping menguruskan perniagaan yang besar.

"Dalam kawasan taman itu, jika ada ruang untuk peniaga, DBKL perlu benarkan kerana waktu perancangan dulu tak fikir soal itu. Kalau tak boleh, cari ruang di luar taman.

"Selepas ini, kalau ada perancangan begitu (naik taraf), kena sediakan ruang untuk peniaga. Bandar raya tak rosak jika beri ruang pada orang kecil meniaga, cuma kena kawal," katanya.

Terdahulu, Annuar mengambil meninjau aktiviti penjajaan di kawasan perindustrian Batu Muda, di sini, dan menyerahkan lesen perniagaan kepada tujuh penjaja di situ.

Berita Harian X