Sabtu, 15 Ogos 2020 | 10:19am
FOTO hiasan.
FOTO hiasan.

19 premis makanan diarah tutup di Kuala Langat, Hulu Selangor

SHAH ALAM: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) mengarahkan 19 premis makanan di Kuala Langat dan Hulu Selangor ditutup serta-merta pada Khamis lalu.

Pengarahnya, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman, berkata arahan itu dikeluarkan selepas premis berkenaan didapati beroperasi dalam keadaan kotor dan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Beliau berkata, 11 premis ditutup mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983, manakala lapan lagi mengikut Seksyen 18 (1)(f) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

"Sebanyak 144 restoran makanan dan kedai makanan diperiksa sepanjang operasi berkenaan dan 19 diarahkan tutup serta merta.

"Semua premis yang diarah tutup mengikut Akta Makanan 1983 diberi tempoh selama 14 hari untuk melakukan kerja-kerja pembersihan manakala premis yang tidak mematuhi SOP PKPP diarah tutup selama tujuh hari," katanya dalam satu kenyataan.

Dr Sha'ari berkata, sebanyak sembilan Notis Kesalahan membabitkan kesalahan mengikut Peraturan- Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 juga dikeluarkan kepada pelanggan kerana merokok di premis makanan dengan nilaian tawaran kompaun RM2,250.

Pelbagai kesalahan membabitkan pengendali serta kebersihan premis makanan juga dikenal pasti.

"Sebanyak 162 Notis Kesalahan pelbagai kesalahan mengikut Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009 juga dikeluarkan kepada pemilik premis dan juga pekerja premis berkenaan dengan nilai tawaran kompaun sebanyak RM 91,500," katanya.

Operasi bersepadu itu diselaraskan oleh Unit Inspektorat dan Perundangan JKNS itu dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Langat, PKD Hulu Selangor serta anggota polis.

Berita Harian X