Rabu, 12 Ogos 2020 | 11:04pm

Cadang wujud jawatankuasa bertindak selesai isu peniaga Sungai Buloh

SUNGAI BULOH: Satu jawatankuasa bertindak dicadang untuk ditubuhkan bagi menyelesaikan isu peniaga terkesan dengan tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT) 'membersihkan' daerah itu.

Perkara itu dicapai susulan perbincangan dilakukan antara Persatuan Keharmonian Bandar Sungai Buloh dan wakil rakyat kawasan itu hari ini.

Pengerusi Persatuan Keharmonian Bandar Sungai Buloh, Abu Hassan Mistari, berkata setakat ini, kira-kira 80 peniaga termasuk ibu tunggal terkesan dengan tindakan pihak terbabit mengakibatkan mereka hilang punca pendapatan.

"Jawatankuasa yang turut dianggotai peniaga itu akan mencari kaedah dan jalan penyelesaian terbaik.

"Kita akan kenal pasti siapa dan jenis perniagaan yang terkesan, selain cuba menyelaraskan operasi perniagaan supaya tidak berlaku lambakan di satu tempat.

"Mungkin boleh dicarikan tapak perniagaan lain untuk individu terkesan. Jawatankuasa ini akan bertindak dalam seminggu ini," katanya pada sidang media di sebuah restoran, di sini, hari ini.

Pengerusi Persatuan Keharmonian Penduduk Bandar Baru Sungai Buloh, Abu Hassan Mistari. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Pengerusi Persatuan Keharmonian Penduduk Bandar Baru Sungai Buloh, Abu Hassan Mistari. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Mengenai kewujudan operasi pusat judi di Sungai Buloh, Abu Hassan yakin Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sudah melakukan tugas yang terbaik bagi membanteras kegiatan itu.

"Persatuan berhubung rapat dengan pihak berkuasa dari semasa ke semasa. Kita salurkan maklumat dan mereka terus jalankan operasi.

"Mungkin ada empat atau lima lagi pusat judi yang masih beroperasi (sebelum MBSA membuat serbuan besar-besaran hari ini), kalau polis tak bertindak secara aktif mungkin lebih banyak lagi premis jalankan aktiviti judi," katanya.

Awal hari ini, sebuah premis dipercayai dijadikan pusat judi dalam talian yang berselindung di sebalik perniagaan pusat snuker, antara disita dalam operasi bersepadu MBSA sekitar Bandar Baru Sungai Buloh.

Sepanjang operasi bermula jam 10 pagi itu, petugas MBSA turut merampas semua perabot dan memotong bekalan elektrik serta air dengan bantuan petugas Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Air Selangor.

Sebelum ini, Pengasas Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid, mendakwa wujud beberapa premis judi serta gerai peniaga warga Indonesia keturunan Aceh yang menjual rokok seludup di sekitar Jalan Besar Bandar Baru Sungai Buloh.

Pendedahannya menerusi tiga siaran langsung di Facebook Hot Burger Malaysia tular sejak Sabtu lalu.

Sebahagian ahli Persatuan Keharmonian Penduduk Bandar Baru Sungai Buloh, ketika sesi perbincangan berkaitan isu peniaga. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Sebahagian ahli Persatuan Keharmonian Penduduk Bandar Baru Sungai Buloh, ketika sesi perbincangan berkaitan isu peniaga. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Berita Harian X