Selasa, 4 Ogos 2020 | 2:28pm
Mohd Fakhrul (tengah) ketika sesi latihan harian untuk persediaan misi kayuhan solo jelajah 63 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) bermula Khamis ini. - Foto Ihsan Mohd Fakhrul
Mohd Fakhrul (tengah) ketika sesi latihan harian untuk persediaan misi kayuhan solo jelajah 63 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) bermula Khamis ini. - Foto Ihsan Mohd Fakhrul

Kayuh basikal jelajah 63 balai bomba banci persepsi anggota

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai bomba akan memulakan misi berbasikal solo menjelajah 63 balai bomba dan penyelamat (BBP) di Semenanjung Malaysia bermula Khamis ini hingga 31 Ogos depan.

Selain bersempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-63, kayuhan solo Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa, 38, turut bertujuan menjalankan bancian persepsi dalam kalangan warga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Jurulatih Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) Wilayah Tengah itu berkata, bancian akan meliputi persepsi anggota berkaitan akademi, keperluan kursus, kemudahan fasiliti secara lebih relatif, meningkatkan kemahiran kognitif warga bomba dalam aspek pengurusan, penyelenggaraan program.

"Program kayuhan ini akan membabitkan jarak keseluruhan 2,020 kilometer (km). Ia juga bertujuan mengumpul dana untuk Tabung Kebajikan Anggota Bomba melalui Program Pendakian 7 Puncak Gunung Tertinggi Dunia dan Gunung K2," katanya yang sudah 15 tahun berkhidmat bersama JPBM kepada BH.

Mengulas lanjut, beliau berkata misi selama 26 hari itu akan membabitkan tiga peringkat bermula di ABPM Wilayah Tengah dan berakhir di Putrajaya.

Laluan peringkat pertama menuju selatan Semenanjung membabitkan jarak 824 km, diikuti peringkat kedua melalui Pahang, Terengganu, Kelantan serta Kedah dengan jarak 652 km dan peringkat akhir pula melalui Perlis, Pulau Pinang, Perak dengan jarak 670 km.

"Melalui program ini, saya harap dapat disebar luas pengorbanan anggota bomba yang bergadai nyawa melaksanakan tanggungjawab menyelamatkan orang ramai seperti diamanahkan. Ia juga bertujuan mengumpul sebanyak mungkin dana untuk disumbangkan semula buat manfaat demi kebajikan anggota bomba.

"Idea ini tercetus berikutan ramai anggota bomba terbabit kemalangan ketika bertugas termasuk dan terkorban. Jadi saya tergerak hati kumpul dana kebajikan melalui program ini," katanya.

Mengenai persediaan, Mohd Fakhrul berkata, walaupun sibuk dengan tugas, dia tetap mencari peluang melakukan kayuhan dan larian sejak beberapa bulan lalu.

"Saya memang gemar mendaki gunung. Namun untuk misi ini, saya mulakan sesi intensif untuk bina stamina dengan latihan setiap hari membabitkan kayuhan purata 100 km dan larian 10 km.

"Saya ucapkan terima kasih semua pihak termasuk keluarga yang menyokong usaha ini dan diharap ia menjadi kekuatan untuk saya menamatkan ekspedisi ini dengan jaya dan bermakna," katanya.

Berita Harian X