Isnin, 3 Ogos 2020 | 10:07am
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muadzam Shah, Razali Kassim (kiri) dan Abdullah Jaafar melepaskan sebahagian 50,000 benih udang galah di Sungai Rompin.-Foto NSTP/Mohd Rafi Mamat
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muadzam Shah, Razali Kassim (kiri) dan Abdullah Jaafar melepaskan sebahagian 50,000 benih udang galah di Sungai Rompin.-Foto NSTP/Mohd Rafi Mamat

150,000 benih udang galah dilepaskan di tiga sungai di Pahang

KUANTAN: Jabatan Perikanan Pahang melepaskan lebih 150,000 benih udang galah di tiga sungai utama di negeri ini dalam tempoh tujuh bulan tahun ini.

Pengarahnya, Abdullah Jaafar, berkata tiga sungai utama terbabit ialah Sungai Pahang, Sungai Bera dan Sungai Rompin. Sebanyak 50,000 benih udang galah dilepaskan di setiap sungai berkenaan.

Beliau berkata, tujuan utama program pelepasan berkenaan ialah bagi menambah stok sumber perikanan sungai di negeri ini yang terkenal dengan udang galah dan ikan air tawar terbaik, selain bagi menambah pendapatan nelayan sungai.

Katanya, pihaknya sentiasa memberi perhatian terhadap populasi udang galah dan ikan sungai di negeri ini yang mempunyai pelbagai spesis bernilai tinggi serta mendapat permintaan menggalakkan.

"Bagi mengekalkan sumber perikanan di negeri ini, masyarakat setempat perlu berperanan memastikan tidak ada aktiviti dilarang seperti meracun, tuba, bahan letupan dan arus elektrik dilakukan pihak tidak bertanggungjawab kerana kegiatan ini boleh menjejaskan sumber perikanan terutama di sungai, tasik dan empangan.

"Lapor segera kepada Pejabat Perikanan Daerah sekiranya mengetahui kegiatan salah berkenaan," katanya pada program pelepasan 50,000 benih udang galah di Sungai Rompin di Kampung Gading, semalam.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muadzam Shah, Razali Kassim.

Abdullah berkata, benih udang galah yang dilepaskan ini diharap membesar seterusnya memberi manfaat kepada masyarakat setempat khususnya 75 nelayan di daerah ini.

Katanya, sumber perikanan sungai di negeri ini mampu memberi pulangan lumayan kepada golongan nelayan sepenuh masa dan sambilan selain menjadi tarikan pelancong.

Abdullah berkata, sepanjang tahun lalu sebanyak 1.77 juta benih ikan air tawar dan udang galah dilepaskan di perairan umum di negeri ini, tumpuan utama membabitkan 12 spesis ikan air tawar seperti lampam sungai, kerai, baung, siakap, temoleh, sebarau dan kelas.

"Akhir bulan lalu kita turut melepaskan 2,000 benih ikan siakap di Sungai Kuantan, selepas ini beberapa program pelepasan akan dilakukan dibeberapa daerah," katanya.

Berita Harian X