Khamis, 23 Julai 2020 | 10:40am
Keadaan banjir kilat di kawasan kampung di Jalan FELDA Besout-Slim River dekat Kampung Kuala Slim, pagi tadi. - NSTP/Rosman Shamsudin
Keadaan banjir kilat di kawasan kampung di Jalan FELDA Besout-Slim River dekat Kampung Kuala Slim, pagi tadi. - NSTP/Rosman Shamsudin

Guru terkandas banjir awal pagi

SLIM RIVER: Banjir kilat di Jalan FELDA Besout - Slim River dekat Kampung Kuala Slim menyebabkan sekumpulan guru di empat buah sekolah rendah daerah Muallim dan Hulu Selangor terkandas, pagi ini.

Guru sekolah terbabit iaitu dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Slim dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Kelapa Bali yang terletak di daerah Muallim dan SK Sri Keledang dan SJKT Ladang 15 pula di daerah Hulu Selangor.

Pengerusi Jawatankuasa Sementara Pengurusan Kampung, Kampung Kuala Slim, Shukeriradzi Md Said, berkata hujan lebat sejak petang semalam hingga malam tadi menyebabkan paras air sungai meningkat mendadak.

Katanya, banjir kilat itu berpunca daripada limpahan Sungai Slim, Sungai Bernam dan Sungai Trolak.

"Air mula melimpah di kawasan jalan ini kira-kira jam 2 pagi tadi juga menyebabkan orang ramai yang melalui jalan ini terkandas kerana terdapat tiga tempat di jalan ini dilimpahi air.

"Ramai guru yang terkandas pagi ini termasuk penduduk kampung yang tidak dapat ke pekan berikutan jalan di kawasan Bukit Keranji dilimpahi air dari Sungai Bernam menyebabkan jalan itu tidak selamat digunakan buat masa ini," katanya ketika ditemui dekat sini.

 - NSTP/Rosman Shamsudin
- NSTP/Rosman Shamsudin

Sebahagian guru yang terkandas akibat banjir kilat di Jalan FELDA Besout-Slim River dekat Kampung Kuala Slim, pagi ini. - NSTP/Rosman Shamsudin
Sebahagian guru yang terkandas akibat banjir kilat di Jalan FELDA Besout-Slim River dekat Kampung Kuala Slim, pagi ini. - NSTP/Rosman Shamsudin

Guru SK Sri Keledang, Mohd Zamree Mohd Zainol, 43, berkata jalan di kampung berkenaan sering ditenggelami air apabila hujan lebat.

Katanya, walaupun paras jalan terbabit telah ditinggikan, limpahan air dari Sungai Bernam tidak mampu menghalang banjir kilat di jalan kampung itu.

"Saya terpaksa berpatah balik dan menggunakan jalan alternatif iaitu Jalan Slim River - Behrang kemudian menuju ke kawasan perkampungan Hulu Bernam sehingga ke FELDA Gedangsa sebelum membelok ke Kampung Sri Keledang.

"Walaupun jaraknya kira-kira 35 kilometer dari rumah, demi tugas saya tetap ke sekolah untuk menjalankan tugas hakiki," katanya.

Berita Harian X