Khamis, 23 Julai 2020 | 10:07am
Mashitah Abu Bakar menunjukkan paip di singki bahagian dapur rumah yang tidak menerima bekalan air pada waktu siang. Foto NSTP/Noorazura Abdul Rahman
Mashitah Abu Bakar menunjukkan paip di singki bahagian dapur rumah yang tidak menerima bekalan air pada waktu siang. Foto NSTP/Noorazura Abdul Rahman
Tibah Ibrahim menunjukkan bekas bagi menadah air yang dihantar SADA selepas tiada bekalan air di rumahnya. Foto NSTP/Noorazura Abdul Rahman
Tibah Ibrahim menunjukkan bekas bagi menadah air yang dihantar SADA selepas tiada bekalan air di rumahnya. Foto NSTP/Noorazura Abdul Rahman

Bangun 3 pagi cari air, tunggu hujan

KUBANG PASU: Terpaksa bangun seawal jam 3 pagi atau menunggu hujan untuk mendapatkan bekalan air.

Itulah yang perlu diharungi kira-kira 400 penduduk di Kampung Pida 11 Lama, Jalan Sanglang, Kodiang di sini yang mengalami masalah sering terputus bekalan air sehingga mengganggu kehidupan mereka sejak dua tahun lalu.

Penduduk, Zamri Zakaria, 43, berkata selain menadah air, mereka turut bergantung bekalan air yang dihantar Syarikat Air Darul Aman (SADA), namun tidak mencukupi berikutan jadual penghantaran tidak tetap.

"Ada penduduk terpaksa menggunakan air hujan untuk mandi dan membasuh pakaian. Air paip pula hanya disalurkan bermula jam 3 hingga 6 pagi.

"Maka kami perlu bangun awal menunggu bekalan bagi membolehkan anak-anak mandi untuk ke sekolah," katanya ketika ditemui di kampung berkenaan.

Perkara sama turut diluahkan Mashitah Abu Bakar, 42, berikutan masalah bekalan air yang berpanjangan itu mengganggu rutin hariannya.

"Semua kerja rumah tergendala kerana perlu menunggu bekalan air ada. Namun terpaksa hadkan penggunaan.

"Pakaian kami anak beranak memang saya basuh di dobi layan diri, air minuman pula terpaksa beli air mineral di kedai," katanya.

Suri rumah, Tibah Ibrahim, 68, berkata masalah bekalan air turut menjejaskan kesihatannya apabila tidak cukup rehat kerana kerap berjaga malam.

Katanya, keluarganya pernah mengambil inisiatif memasang pam air elektrik, namun ia langsung tidak berkesan kerana tiada bekalan air disalurkan pada waktu siang.

Sementara itu, jurucakap Bahagian Komunikasi Korporat SADA ketika dihubungi, memaklumkan gangguan bekalan di kampung berkenaan berlaku disebabkan kedudukannya berada di penghujung sistem agihan bekalan air.

Katanya, di kawasan terbabit juga mengalami keadaan tekanan air rendah pada waktu siang dan akan terputus bekalan sekiranya jika berlaku gangguan air luar jangka seperti paip bocor atau loji rawatan air terganggu.

"Pihak SADA memantau situasi bekalan air di kawasan sekitar dan akan membuat penghantaran bekalan air melalui lori tangki sekiranya mendapat permintaan pengguna," katanya.

Jurucakap SADA berkata, penyelesaian jangka masa panjang untuk mengatasi serta menstabilkan bekalan air di kawasan terbabit adalah dengan projek menaik taraf Lori Rawatan Air (LRA) Pelubang.

"Ia dijangka dapat memberi penyelesaian kepada pengguna di sekitar Kota Setar dan Kubang Pasu," katanya.

Berita Harian X