Rabu, 22 Julai 2020 | 3:49pm
ROZALI (depan kiri) mengadakan tinjauan di beberapa kawasan lokaliti kes demam denggi dan Chikunguya di Bukit Mertajam. - Foto/Ihsan MBSP
ROZALI (depan kiri) mengadakan tinjauan di beberapa kawasan lokaliti kes demam denggi dan Chikunguya di Bukit Mertajam. - Foto/Ihsan MBSP

Kempen pembersihan, pencegahan kurangkan demam denggi, Chikungunya

BUKIT MERTAJAM: Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) giat melakukan kerja pembersihan dan pencegahan bagi mengurangkan penularan kes demam denggi dan Chikungunya di kawasan ini.

Datuk Bandar MBSP, Datuk Rozali Mohamud, berkata mengikut laporan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) terdapat 182 kes demam denggi dan 39 kes penyakit Chikungunya di Seberang Perai, sejak Januari hingga 11 Julai lalu.

Katanya, MBSP mengambil pelbagai alternatif dan langkah proaktif bagi membasmi kedua-dua penyakit itu.

"Alternatif dan langkah itu antaranya menghantar sepasukan petugas untuk melaksanakan semburan anti-larva di kawasan terjejas.

"MBSP menyusun tugasan pembersihan untuk menghapuskan tempat pembiakan jentik dan membersihkan sampah pukal serta sisa pembersihan awam di lokaliti yang merekodkan kes penyakit ini," katanya dalam

kenyataan, di sini, hari ini.

Rozali berkata, MBSP mengeluarkan lapan kompaun dan 15 notis di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 kepada beberapa pemilik premis di kawasan berkenaan.

"Kompaun dikeluarkan kerana pemilik melakukan kesalahan seperti halangan longkang dan membuat kekotoran dalam longkang hingga ia menjadi faktor kepada tempat pembiakan nyamuk serta membiarkan premis dalam keadaan kotor.

"MBSP tidak akan teragak-agak mengenakan kompaun setiap sehari mereka melakukan kesalahan berulang dan tidak mengendahkan kebersihan di kawasan masing-masing," katanya.

Berita Harian X