Sabtu, 18 Julai 2020 | 5:10pm
Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (tiga dari kanan) melepaskan benih ikan sempena Program Libat Urus bersama myKomuniti Perikanan (myKP) Pengkalan Gawi dan Program Pelepasan Benih ke Perairan Umum di Sungai Leban, Tasik Kenyir. -Foto NSTP/Zaid Salim
Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (tiga dari kanan) melepaskan benih ikan sempena Program Libat Urus bersama myKomuniti Perikanan (myKP) Pengkalan Gawi dan Program Pelepasan Benih ke Perairan Umum di Sungai Leban, Tasik Kenyir. -Foto NSTP/Zaid Salim

Satu juta benih ikan dilepaskan di Tasik Kenyir setiap tahun

HULU TERENGANU: Sebanyak satu juta benih anak ikan pelbagai spesis akan dilepaskan di Tasik Kenyir pada setiap tahun dalam usaha memulihara sumber berkenaan, terus kekal di tasik berkenaan.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata kesemua benih ikan berkenaan dibekalkan Jabatan Perikanan Malaysia dan ia menunjukkan, keprihatinan serius kementeriannya dalam memajukan Tasik Kenyir di bawah pengurusan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah).

Katanya, projek itu juga bertujuan meningkatkan stok ikan dan sumber perikanan darat dalam menjamin bekalan makanan itu, sekali gus memajukan sosio-ekonomi nelayan darat di sungai dan juga tasik.

"Pusat penternakan benih ikan yang ada di negeri ini dan negeri berdekatan akan dijadikan pusat penternakan khusus untuk pengeluaran satu juta benih ikan untuk dilepaskan di Tasik kenyir pada setiap tahun," katanya pada sidang media, Program Libat Urusbersama myKomuniti Perikanan (myKP) Pengkalan Gawi dan Program Pelepasan Benih ke Perairan Umum di Sungai Leban, Tasik Kenyir, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim, Pengerusi Ketengah, Datuk Razali Idris, Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Datuk Munir Mohd Nawi dan Pengurus Besar Ketengah, Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa.

Pada program itu, sebanyak 25,000 benih ikan pelbagai jenis dilepaskan membabitkan 23,000 spesis lampan, sebarau (1,000) dan kelah serta temoleh masing-masing sebanyak 500 ekor di sungai berkenaan.

Terdahulu, seramai lapan nelayan darat daripada Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir menerima bantuan jaket keselamatan dan tong insulasi.

Ronald berkata, bantuan itu disalurkan khusus bagi memperkukuhkan program dan aktiviti perikanan berkelompok, dijalankan setiap bantuan berkelompok myKomuniti Perikanan (myKP) yang memohon.

"Bantuan keseluruhan bernilai RM247,800 ini mampu meringankan beban kumpulan sasar terutama nelayan darat yang terkesan akibat daripada penularan wabak Covid-19 di negara ini," katanya.

Beliau berkata, pada 2020, Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) memperuntukkan sebanyak RM5 juta khusus bagi membantu kumpulan sasar dengan nilai pecahan penyaluran sebanyak RM3 juta untuk pengusaha akuakultur dan RM2 juta untuk bantuan kumpulan nelayan pantai dan darat.

Berita Harian X