Sabtu, 18 Julai 2020 | 9:56am
Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman
Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman

JKNS arah 25 premis makanan di Klang, Kuala Selangor ditutup

SHAH ALAM: Sebanyak 25 premis makanan di Klang dan Kuala Selangor diarah tutup pada Khamis lalu kerana beroperasi dalam keadaan kotor serta tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman, berkata daripada jumlah itu, 20 premis ditutup mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983, manakala lima lagi mengikut Seksyen 18 (1)(f), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

"Menerusi OPS Bersepadu Premis Makanan itu, sebanyak 162 restoran dan kedai makanan diperiksa dan 25 daripadanya diarahkan tutup.

"Kesemua premis yang diarah tutup mengikut Akta Makanan 1983 diberi tempoh 14 hari untuk melakukan kerja-kerja pembersihan, manakala premis yang tidak mematuhi SOP PKPP diarah tutup selama tujuh hari," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, dalam operasi berkenaan pelbagai kesalahan membabitkan pengendali serta kebersihan premis makanan dikenal pasti.

Katanya, sebanyak 146 Notis Kesalahan membabitkan pelbagai kesalahan mengikut Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009 dikeluarkan kepada pemilik premis dan juga pekerja premis berkenaan dengan nilai tawaran kompaun sebanyak RM 101,450.

"Sebanyak 10 Notis Kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 juga dikeluarkan kepada pelanggan kerana merokok di premis makanan dengan nilaian tawaran kompaun RM2,500," katanya.

Dr Sha'ari berkata, operasi bersepadu yang diselaraskan oleh Unit Inspektorat dan Perundangan JKNS itu turut mendapat kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Klang, PKD Kuala Selangor serta anggota polis.

Beliau berkata, operasi berkenaan akan diteruskan bagi memastikan pengusaha dan pengendali makanan serta orang ramai mematuhi peruntukan mengikut Akta Makanan dan Peraturan-peraturan Makanan bagi memastikan pelanggan mendapat makanan yang selamat.

"Di samping itu, mereka juga perlu patuh terhadap SOP PKPP supaya dapat membendung dan memutuskan penularan COVID-19," katanya.

Berita Harian X