Jumaat, 17 Julai 2020 | 4:36pm
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS), Saipolyazan M Yusop (kanan), diiringi Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Dr Abdul Rahman Abdullah (kiri) dan Ketua Pegawai Teknikal Zanko Sdn Bhd, Rose Kaharudin Hairi Mohd Suan pada Pelancaran Go-Live Sistem E-Agreement Lembaga Zakat Selangor di Hotel Concorde, Shah Alam - Foto NSTP/Faiz Anuar
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS), Saipolyazan M Yusop (kanan), diiringi Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Dr Abdul Rahman Abdullah (kiri) dan Ketua Pegawai Teknikal Zanko Sdn Bhd, Rose Kaharudin Hairi Mohd Suan pada Pelancaran Go-Live Sistem E-Agreement Lembaga Zakat Selangor di Hotel Concorde, Shah Alam - Foto NSTP/Faiz Anuar

LZS sasar 2,000 asnaf keluar dari kemiskinan tahun ini

SHAH ALAM : Lembaga Zakat Selangor (LZS) mensasarkan mengeluarkan lebih 2,000 keluarga asnaf dari kepompong kemiskinan tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M Yusop, berkata usaha itu sedang dilaksanakan dengan pelbagai program berterusan seperti kursus bantuan modal, kemahiran, bantuan melanjutkan pelajaran serta membantu anak asnaf mendapat pekerjaan.

"LZS menyediakan lapan strategi utama dengan 42 inisiatif yang mana kita bukan sahaja membangunkan generasi pertama (penerima zakat) tetapi juga membantu generasi kedua (anak penerima zakat) dengan pendidikan, latihan serta kemahiran.

"Kalau kita tidak berjaya mengeluarkan generasi pertama, kita akan bantu generasi kedua agar dapat membantu keluarga mereka keluar dari kemiskinan.

"Untuk merealisasikan usaha berterusan ini, LZS memerlukan dana, pastinya dari pembayar zakat. Sebab itu kita mengharapkan kutipan zakat semakin baik walaupun dalam keadaan COVID-19 dan pembayar terus setia bersama LZS membantu asnaf," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Pelancaran Go-Live Sistem e-Agreement LZS oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Dr Abdul Rahman Abdullah di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Raffcomm Group, Datuk Md Afendi Hamdan dan Pengarah Eksekutif Zanko Sdn Bhd, Sallehuddin Ishak.

Saipolyazan berkata, setakat ini berdasarkan profil penerima zakat, pihaknya mendapati kira-kira 15,000 keluarga asnaf yang proaktif dan boleh dikeluarkan dari kemiskinan dengan usaha tertentu.

"LZS membangunkan pelbagai program dan latihan induksi untuk mereka bagi memberi kefahaman bahawa mereka bukan asnaf selama-lamanya.

"LZS yakin bahawa mereka ini boleh dikeluarkan dari golongan asnaf, setakat ini kita sudah keluarkan beberapa keluarga dan kita sasaran lebih 2,000 keluarga asnaf keluar dari kemiskinan," katanya.

Bagi generasi kedua pula katanya, sehingga ini kira-kira 16,000 sudah dihantar ke universiti, pusat latihan serta kemahiran.

"Kira-kira 8,000 sudah tamat dan selebihnya masih meneruskan pengajian dan pusat latihan termasuk pengajian di luar negara.

"Generasi kedua ini didedahkan dengan pelbagai latihan, bukan sahaja berkaitan agama sebaliknya kedoktoran, perakaunan, teknikal dan LZS juga melaksanakan program bagi memastikan mereka dapat pekerjaan.

"Apabila dapat pekerjaan, mereka akan bantu keluarga. Apabila keluarga dibantu, mereka sekeluarga pasti dapat keluar dari kemiskinan," katanya.

Katanya, LZS turut mengadakan kempen jom kerja dengan kerjasama beberapa syarikat termasuk Mydin, MrDIY serta Top Glove.

Berita Harian X