Khamis, 16 Julai 2020 | 7:17pm

4 kes JE dilaporkan di Pulau Pinang negatif

GEORGETOWN: Empat daripada tujuh kes Japanese Encephalitis (JE) yang dilaporkan di Pulau Pinang disahkan negatif.

Berikutan itu, negeri ini kekal dengan tiga kes positif JE iaitu dua dari lokaliti Sungai Bakap di kawasan daerah Seberang Perai Selatan dan satu dari Balik Pulau di daerah Barat Daya.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Asmayani Khalib, berkata bagi ketiga-tiga kes positif itu pihaknya masih mengadakan pemantauan terhadap pesakit sama ada masih mempunyai gejala JE pada diri mereka.

"Gejala JE adalah seperti demam, sakit kepala, loya, muntah, perubahan keadaan mental, gejala neurologi, lemah dan gangguan pada pergerakan anggota badan.

"Bagi individu yang mengalami tanda-tanda ini perlu berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan segera," katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), di sini, hari ini.

Beliau berkata, JE boleh menyebabkan pesakit berasa keliru dan celaru bahkan berisiko berdepan dengan penyakit sawan yang kerap berlaku kepada kanak-kanak.

Dr Asmayani berkata, pihaknya berterima kasih atas keprihatinan dan inisiatif masyarakat yang menyumbang kepada langkah membendung penyakit JE daripada menular.

Katanya, JKNPP berharap langkah itu diteruskan merangkumi aktiviti sekitar halaman rumah seperti memastikan sistem perparitan mengalir sempurna, mengelakkan air bertakung, menggunakan racun semburan serangga aerosol dan ubat sapu mengelak nyamuk.

Menurutnya, bagi penternak khinzir pula dinasihatkan supaya memastikan kawasan ternakan bersih serta mematuhi amalan penternakan baik dan dapat memodenisasikan cara penternakan kepada sistem baharu yang bersih, sekali gus mengelak pembiakan nyamuk Culex.

"JKNPP juga giat melaksanakan pelbagai aktiviti untuk membendung JE termasuk mengesan kawasan kes aktif dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk, "katanya.

Berita Harian X