Ahad, 12 Julai 2020 | 1:50pm

Tiada projek di Johor batal, tangguh - Hasni

ISKANDAR PUTERI: Semua projek yang dirancang dilaksanakan di Johor tahun ini akan dijajarkan semula serta diubahsuai susulan penularan COVID-19.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohamad, menegaskan tiada projek dibatal atau ditangguhkan, termasuk yang berskala mega seperti projek Sistem Transit Rapid (RTS) dan projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru.

Katanya, projek RTS yang menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru dan Woodlands di Singapura dijangka bermula pada November depan dengan pemeteraian perjanjian dijangka pada akhir bulan ini.

"Saya dimaklumkan, semua perkara yang dikehendaki dalam perjanjian itu telah pun dapat dipenuhi. Jadi apabila ia ditandatangani, dalam tempoh tiga bulan kita dapat melihat permulaan projek itu.

"Yang paling signifikan ialah depoh untuk penyelenggaraan, ubah suai dan operasi telah dipindahkan ke Johor, iaitu di Wadihana, bukan di Mandai, Singapura seperti sebelum ini," katanya ketika ditemui selepas melawat Projek Jambatan Sungai Pulai di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan, tanah seluas 2.4 hingga 2.8 hektar di Wadihana juga telah dikenalpasti bagi pembinaan depoh terbabit dan ia dijangka membuka 500 peluang pekerjaan.

Kelmarin, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yakin perjanjian projek RTS dapat dimeterai menjelang akhir bulan ini.

Katanya, Kementerian Pengangkutan berkeyakinan penuh dapat menyelesaikan beberapa isu tertunggak mengenai RTS pada Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal RTS Malaysia-Singapura, esok dan selepas itu, proses proses perundangan perjanjian akan diperincikan dan dimeterai sebelum 31 Julai.

Projek RTS merangkumi landasan sepanjang empat kilometer dengan kapasiti mengangkut 10,000 penumpang setiap jam.

Pada Oktober tahun lalu, Malaysia bersetuju meneruskan projek RTS dengan kos terbaharu RM3.16 bilion dan dijangka siap pada Disember 2024, bertujuan menangani masalah kesesakan lalu lintas untuk perjalanan ulang alik antara kedua-dua negara itu setiap hari.

Ka Siong pada Mei lalu dilaporkan berkata, Malaysia dan Singapura mencapai kesepakatan untuk melanjutkan perbincangan mengenai perjanjian dua hala projek RTS hingga 31 Julai 2020, lanjutan tiga bulan daripada tarikh yang sepatutnya dimuktamadkan iaitu 30 April.

Perbincangan dua hala mengenai projek RTS turut terkesan, berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia dan Langkah Pemutus Rantaian di Singapura.

Sementara itu, Hasni berkata, Jambatan Sungai Pulai yang menghubungkan Gelang Patah, Johor Bahru dan Tanjung Bin, Pontian akan mengurangkan masa perjalanan kepada 15 minit berbanding satu jam jika menggunakan laluan asal.

"Secara tidak langsung ia akan memperhebatkan perjalanan dan aktiviti perniagaan bagi komuniti yang tinggal di dua daerah terbabit serta memberi kesan ekonomi kepada penduduk setempat," kata Hasni.

Pembinaan projek berkenaan setakat ini mencapai kemajuan 34 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada Oktober 2021.

Projek bernilai 700 juta ringgit sepanjang 7.5 kilometer itu mula dibina pada September 2017 menerusi kerjasama awam-swasta.

Yang turut hadir mengiringi Menteri Besar ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan Johor, Mohd Solihan Badri; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar, Datuk Samsolbari Jamali serta Pengarah Urusan Kumpulan MMC Corporation Berhad, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohamad (tiga dari kiri) melihat replika Jambatan Sungai Pulai yang dalam pembinaan di Iskandar Puteri, Johor, hari ini. - Foto Omar Ahmad
Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohamad (tiga dari kiri) melihat replika Jambatan Sungai Pulai yang dalam pembinaan di Iskandar Puteri, Johor, hari ini. - Foto Omar Ahmad
Berita Harian X