Khamis, 9 Julai 2020 | 10:12am
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Zakaria Othman. - NSTP/Amran Hamid
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Zakaria Othman. - NSTP/Amran Hamid

Kutipan zakat di Kedah dijangka merosot

ALOR SETAR: Kutipan zakat perniagaan dan pendapatan negeri ini dijangka merosot pada tahun depan berikutan banyak pihak yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Zakaria Othman, berkata jangkaan itu dibuat berdasarkan beberapa data kajian pengiraan zakat pada tahun ini.

"Bagaimanapun, sehingga hari ini wabak ini belum menjejaskan kutipan LZNK kerana pembayaran zakat tahun ini dikira berdasarkan pendapatan dan perniagaan haul 2019.

"Sehingga semalam, kutipan zakat negeri mencecah RM124.32 juta berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu RM111.664 juta atau peningkatan sebanyak 11.3 peratus," katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, Zakaria berkata, kutipan tahun ini meningkat berikutan ada syarikat mengambil langkah menjelaskan zakat lebih awal kerana bimbang penularan wabak COVID-19.

Katanya, bagaimanapun kutipan zakat pada penghujung tahun ini dijangka akan mendatar.

"Kutipan zakat fitrah Kedah, pada tahun ini juga meningkat sedikit berbanding tahun lalu iaitu daripada RM10.2 juta kepada RM10.64 juta.

"Kutipan ini naik sedikit selepas LZNK memperkenalkan pelbagai kaedah pembayaran termasuk secara dalam talian dan bayaran secara pandu lalu serta memudahkan pembayaran menerusi amil di kariah mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan," katanya.

Pada masa sama, LZNK juga sudah menyalurkan bantuan khas COVID-19 berjumlah RM12.87 juta kepada sektor kesihatan, kewangan, sosial, makanan dan lain-lain.

Berita Harian X