JEMPOL: Memenuhi permintaan anak dan juga mencipta kelainan untuk menarik pelanggan, peniaga Nurulazma Shafiqah Khairul Azhar, 29, tidak janggal memakai kostum Doraemon di kedai makannya di Kampung Lonek di sini.
Anaknya Nur Dhia Imani Norazmi, 4, paling seronok apabila Nurulazma Shariqah memakai kostum berkenaan.
Katanya, sebelum ini dia mencadangkan beberapa watak kartun popular lain seperti Mickey Mouse, Garfield dan Ultraman namun anaknya memilih Doraemon.
"Selepas kedai makan ditutup sebaik Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan 18 Mac lalu, Sabtu minggu lalu saya kembali berniaga.
"Agak mencabar apabila berniaga ketika negara masih belum bebas COVID-19, namun saya perlu lalui cabaran. Pemakaian kostum Doraemon setiap Sabtu dan Ahad adalah cara saya mempromosikan perniagaan.
"Ramai pengunjung terutama kanak-kanak teruja dan mahu bergambar setiap kali mereka datang menjamu selera di sini," katanya.