Khamis, 2 Julai 2020 | 1:29pm
DIN Iban selesa berkhemah kerana enggan berjauhan dengan anak yang tinggal bersama bekas isteri
DIN Iban selesa berkhemah kerana enggan berjauhan dengan anak yang tinggal bersama bekas isteri

5 tahun berkhemah demi anak

PORT DICKSON: Seorang bekas tentera sanggup tinggal dalam khemah sejak lima tahun lalu kerana enggan berjauhan dari empat anaknya selepas bercerai dengan isterinya di Kampung Teluk, Pasir Panjang, Port Dickson, di sini.

Mohamad Nor Saifuddin Abdullah, 44, atau lebih dikenali dengan nama Din Iban dalam kalangan orang kampung bekerja sebagai Pengawal Keselamatan di Pusat Pembangunan Belia dan Sukan, bersebelahan Kolej Uniti lama tidak jauh dari tempatnya berkhemah.

"Saya selesa hidup macam ini kerana anak boleh datang menziarahi saya dan masih memberi wang belanja setiap kali dapat gaji kerana mereka tinggal bersama ibunya sudah berkahwin lain.

"Saya lebih dikenali dengan nama 'Din Iban' kerana memang orang Iban berasal dari Serian, Sarawak. Memeluk Islam setahun sebelum mengenali bekas isteri ketika dalam perkhidmatan tentera," katanya ketika ditemui di khemahnya, di sini.

Katanya, dua tahun lalu ada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menularkan kisahnya tinggal di dalam khemah di pinggir hutan lipur di sini.

"Selepas itu ramai yang datang melawat termasuk badan kerajaan dan orang perseorangan dan Baitulmal turut menawarkan deposit rumah sewa. Jika saya tidak mampu ketika itu, tetapi saya tolak dengan baik kerana lebih selesa tinggal di sini sebab dekat dengan laut bagi memudahkan mencari udang untuk dijual kepada pemancing.

"Ketika itu memang saya susah kerana sudah berhenti dari perkhidmatan tentera, tidak berpencen selepas berkhidmat 16 tahun di kem Port Dickson, tetapi tidak sanggup berjauhan dengan anak terutama bongsu berusia lapan tahun," katanya

"Tinggal dalam khemah tepi hutan lipur bukan asing bagi saya sebagai bekas tentera dan berasal dari kampung yang di kelilingi hutan. Lebih selesa kerana dekat dengan laut bagi memudahkan saya mencari rezeki tambahan," katanya.

Berita Harian X