Selasa, 30 Jun 2020 | 12:49pm
Mohd Farid menunjukkan hidangan RM2.50 di Seri Manjung. Foto NSTP/NOOR HIDAYAH TANZIZI
Mohd Farid menunjukkan hidangan RM2.50 di Seri Manjung. Foto NSTP/NOOR HIDAYAH TANZIZI

Bekas cef jual makanan harga rendah

MANJUNG: Bekas cef, Mohd Farid Mohd Tahir, 35, menjual makanan pada harga patut di sini, sejak lebih setahun lalu.

Katanya, beliau berpegang kepada prinsip rezeki yang dikongsi akan lebih bertambah dan semua orang mampu menjamu selera di kedainya.

Mohd Farid yang pernah bertugas sembilan tahun di hotel berkata, ada lebih 30 menu di kedai dengan harga serendah RM2.50 setiap hidangan.

"Antaranya aneka nasi goreng, nasi putih bersama pelbagai jenis lauk, mi, bihun serta kuew tiau goreng, sup, tomyam, hailam dan ladna, selain masakan barat seperti 'chicken chop' dan pasta.

"Ada juga set bersama air dan hidangan sampingan pada harga RM5.50. Minuman juga dijual pada harga rendah bermula RM1 hingga RM2.50, termasuk jus," katanya di sini.

Mohd Farid berkata, dia tidak mahu terlalu berkira dalam perniagaan dan tidak kisah jika untung sedikit kerana baginya setiap rezeki yang dikongsi tidak akan putus.

"Ramai juga yang tanya berbaloi tak saya jual harga rendah seperti ini. Bagi saya untung sedikit pun tak apa, asalkan lepas kos barang, sewa kedai dan gaji pekerja.

"Selain itu, ini juga cara saya berkongsi rezeki kerana Manjung kawasan perindustrian dan ramai anak muda hidup bujang di sini.

"Dengan harga seperti ini dapat membantu mereka berjimat terutama pada tengah bulan," katanya.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, biarpun kos sara hidup semakin tinggi, beliau tetap mengekalkan harga rendah kerana baginya semua pihak terjejas dengan pandemik itu.

"Alhamdulillah, sambutan sangat menggalakkan dan saya menggunakan 15 hingga 20 kilogram beras dan menjual 200 'chicken chop' sehari," katanya.

Walaupun harga rendah, keenakan dan saiz hidangan setiap menu yang dijual di Threesha secukup rasa dan setanding seperti makanan di restoran lain.

Pelanggan, Mohd Aliman Abd Ghani, 23, berkata, pada mula dia terkejut melihat saiz hidangan menu yang sama seperti di kedai biasa yang harganya lebih tinggi.

"Setakat ini, saya belum jumpa lagi nasi putih dan ayam butter dijual dengan harga RM2.50 di tempat lain. Dengan hanya RM10 sudah cukup untuk makan malam berdua di sini," katanya.

Berita Harian X