Sabtu, 27 Jun 2020 | 7:31am
Dua kes Japanese Encephalitis (JE) dilaporkan di Pulau Pinang membabitkan dua mangsa kanak-kanak berusia dua dan lapan tahun. GAMBAR HIASAN
Dua kes Japanese Encephalitis (JE) dilaporkan di Pulau Pinang membabitkan dua mangsa kanak-kanak berusia dua dan lapan tahun. GAMBAR HIASAN

2 kes JE babitkan kanak-kanak

GEORGETOWN: Dua kes Japanese Encephalitis (JE) dilaporkan di Pulau Pinang membabitkan dua mangsa kanak-kanak berusia dua dan lapan tahun.

Kedua-dua mereka masing-masing dari Kampung Badak Mati dan Taman Kuang, Sungai Bakap itu dilaporkan mendapatkan rawatan Isnin lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Dr Asmayani Khalib, berkata seorang mangsa masih berada di wad Hospital Pulau Pinang (HPP) dan dilaporkan stabil manakala seorang lagi dibenarkan pulang ke rumah pada hari dia mendapatkan rawatan.

"Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) sudah meminta Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Selatan di kawasan sekitar lokaliti kes melakukan aktiviti kawalan dan pencegahan Selasa lalu, iaitu sehari selepas kes dilaporkan.

"Hasilnya, sebanyak 18 bekas daripada 4,068 diperiksa menemui tempat pembiakan nyamuk Culex dan sudah disembur dengan bahan pembunuh jentik-jentik.

"Selain itu, aktiviti semburan kabus juga dibuat meliputi semua premis berjumlah 1,082 dalam lingkungan dua kilometer radius daripada rumah kes," katanya dalam kenyataan yang dimuatnaik di laman Facebook JKNPP, di sini, malam tadi.

Jelasnya, aktiviti pengesanan kes aktif di kawasan kediaman mangsa turut dijalankan membabitkan 3,806 penduduk dengan kesemuanya tidak mempunyai gejala JE.

"JKNPP juga mengeluarkan 'JE Alert' kepada hospital dan pejabat kesihatan daerah untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan dalam pengesanan kes baharu JE," katanya.

Dr Asmayani berkata, JKNPP turut bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang (JPVPP) bagi membasmi penularan JE di kawasan berkenaan.

"Melalui kerjasama ini JPVPP memeriksa lapan ladang khinzir yang mana tiga daripadanya terletak dalam lingkungan 1.5 kilometer dari kawasan kes serta sampel daripada khinzir juga sudah diambil dan dihantar ke makmal untuk pengesanan virus JE.

"Pengusaha ladang khinzir dipohon supaya mematuhi amalan penternakan yang baik untuk meningkatkan tahap kebersihan ladang serta bebas daripada tempat pembiakan nyamuk terutamanya nyamuk Culex," katanya.

Sejak Januari tahun ini sehingga 25 Jun lalu, sembilan kes termasuk satu kes kematian JE dilaporkan di Malaysia berbanding 12 kes dan tiga kematian bagi tempoh sama pada tahun 2019.

Kes yang dilaporkan tahun ini adalah tiga dari Sabah, dua (Kedah), dua (Pulau Pinang) dan masing-masing satu dari Sarawak dan Perak.

Berita Harian X