GUA MUSANG: Penduduk Taman Tuan Guru, Sungai Terah dekat sini terpaksa menempuh perjalanan kira-kira 15 kilometer untuk menumpang mandi di masjid atau rumah saudara di bandar ini.
Masalah dialami kira-kira 300 penduduk taman itu berlarutan kira-kira dua bulan lalu, iaitu lima hari sebelum Ramadan.
Penduduk taman itu, Mohd Shahidan Shafie, 22, berkata masalah berlarutan hingga sekarang kerana belum dapat diselesaikan oleh Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).
Dia berkata, AKSB berjanji untuk menghantar air menggunakan lori tangki setiap hari tetapi tidak ditunaikan.
"Empat hari sekalipun tidak dihantar hingga kami terpaksa pergi ke bandar Gua Musang untuk menumpang mandi," katanya.
Peniaga kedai makan, Zulkifli Ab Rahman, 51, pula berkata, dia terpaksa mendapat khidmat kenderaan pacuan roda untuk memunggah air dari sungai.
Katanya, dia terpaksa mendapat air sungai untuk meneruskan perniagaan kedai makan dan mencari pendapatan untuk menampung perbelanjaan keluarga.
Beliau berkata, kadang-kadang dia menadah air hujan dan tangki besarnya membolehkan bekalan bertahan lima hari.
"Kami sebelum ini tidak menerima penjelasan tepat daripada AKSB berhubung masalah itu. Kita berharap ada tindakan segera untuk mengatasi masalah ini," katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Operasi AKSB Kelantan Wan Khairuddin Wan Omar berkata, masalah bekalan air dihadapi penduduk taman itu dalam proses baik pulih.
Katanya, lokasi paip pecah sudah dikesan dan kerja membaikinya sudah dilakukan.
Beliau berkata, bekalan air dijadual pulih pada Isnin ini.